Tiada siapa setuju lagu itu terbit, pakailah otak - Pengurus Fazura - Utusan Malaysia

Tiada siapa setuju lagu itu terbit, pakailah otak – Pengurus Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Pengurus kepada pelakon Fazura, Iman Tang, menegaskan pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penerbitan lagu duet bersama Fattah Amin yang dijadualkan Khamis ini.

Jelas Iman, Fazura turut terkejut dengan berita itu memandangkan rakaman lagu bertajuk ‘Bertahan Demi Cinta’ telah lama dibuat sekitar Februari.

“Lagu itu dirakamkan sudah lama dengan sebuah label Indonesia, Hits Records, tapi pihak mereka tidak terbitkan. Tiba-tiba hari ini keluar berita mengatakan lagu itu akan dikeluarkan.

“Saya sempat tanyakan kepada Fazura, dia juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Tahu-tahu lagu sudah mahu keluar. 

“Sudah tentu Fazura tidak bersetuju, tiada siapa setuju” katanya.

Iman mengulas mengenai spekulasi kononnya perceraian kedua pasangan itu hanyalah sekadar gimik untuk melariskan lagu duet ‘Bertahan Demi Cinta’ yang bakal dilancarkan Khamis ini. 

Susulan itu, Iman turut menyifatkan pihak syarikat rakaman tersebut hanya mahu mengambil kesempatan selain tidak menghormati perasaan Fazura ketika ini.

“Saya tidak tahu apa perancangan mereka. Bagi saya sangat tidak sesuai jika lagu ini dikeluarkan pada masa sekarang. 

“Bagi syarikat itu, mungkin mereka rasa orang akan dengar lagu tersebut. Tapi secara peribadi, saya rasa mereka hanya menangguk di air keruh. 

“Sebagai Muslim, kita hormatilah jika seseorang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan. Pakai otak.

“Saya tidak pasti apa keputusan akhir, pihak Fazura sudah minta peguam untuk berurusan dengan pihak syarikat tersebut,” tambahnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sesi tontonan latihan konsert Datuk M. Nasir Cipta 2 di My Studio Sungai Buloh, semalam.

Jelas Iman, tindakan dilakukan syarikat rakaman itu boleh mencetuskan salah faham dan gusar sekiranya ada yang menjadikan perceraian sebagai gimik untuk melariskan produk.

“Saya juga tidak tahu butiran kontrak tersebut kerana tidak menguruskan kerjaya muzik Fazura. Tapi bagi saya, tidak perlu pun promosi lagu itu kerana isu rumah tangga lebih penting. Ini bukan bahan jenaka. 

“Kalau kita tidak ambil serius, generasi akan datang ingat perceraian sebagai benda main-main seperti mahu promosi produk kemudian rujuk kembali. Apa akan jadi dengan pendidikan agama kita? Hancur.

“Sebab di akhirnya, orang akan ingat kita sekadar mahu jual lagu. Gaduh-gaduh rupanya sebab mahu jual tudung atau sambal ikan bilis,” katanya. 

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila syarikat rakaman Hits Records mengumumkan bakal melancarkan lagu duet Fattah dan Fazura Khamis ini.

Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat  di media sosial. 

Terdahulu, Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pada Isnin. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN