Tiada sampel anggur Shine Muscat tidak patuh kandungan racun perosak - KKM

Tiada sampel anggur Shine Muscat tidak patuh kandungan racun perosak – KKM

KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sampel anggur dari jenis Shine Muscst didapati tidak mematuhi kandungan residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL) menerusi data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM dalam kenyataan memaklumkan, ia hasil analisis Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) dalam tempoh 2020 hingga September lalu melalui tindakan penguatkuasaan ke atas sayur-sayuran dan buah-buahan import yang tidak mematuhi MRL.

Katanya, berdasarkan analisa itu, hanya empat daripada 234 sampel anggur yang dikesan tidak mematuhi MRL, tetapi tidak melibatkan anggur jenis Shine Muscat.

“Tindakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) pada kemasukan seterusnya dikenakan, di mana konsainan makanan tersebut wajib ditahan dan pensampelan perlu dijalankan.

“Dalam hal ini, kelulusan pelepasan di Pintu Masuk hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi MRL yang ditetapkan.

“Larangan pengimportan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran yang berulang,” katanya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan berhubung laporan The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) berkaitan dengan anggur Shine Muscat yang mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).

Selain analisa anggur, sejumlah 5,561 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan import telah dianalisis bagi residu racun perosak dan sejumlah 165 sampel didapati tidak mematuhi MRL ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sepanjang tempoh sama.

Katanya, PKKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sayur-sayuran dan buah-buahan import yang tidak mematuhi MRL termasuk arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, re-eksport atau pendakwaan kes.

“Di Malaysia, residu racun perosak dikawal di bawah Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang turut merujuk kepada standard antarabangsa Codex.

“Pemantauan secara berterusan sentiasa dijalankan di semua 70 pintu masuk negara melibatkan pelbagai aktiviti kawalan dan pematuhan semua makanan import termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran yang meliputi pemeriksaan dokumen, pemeriksaan fizikal, pemeriksaan label, pengambilan sampel dan penahanan di gudang pengimport,” katanya.

Pada masa sama, PKKM sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas konsainan makanan import melalui Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) yang menggunakan pendekatan enam tahap pemeriksaan berasaskan risiko.

Sebagai panduan kepada pengguna, KKM berkata, setiap makanan yang diimport dan berbungkus, perlu mengandungi maklumat asas termasuk negara asal produk tersebut.

“Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan untuk membaca label sebagai panduan.

“KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna terhadap perkara ini. KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya