Tiada perkara serius jejaskan parti komponen PN - Samsuri - Utusan Malaysia

Tiada perkara serius jejaskan parti komponen PN – Samsuri

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan tiada perkara serius yang berlaku hingga boleh menjejaskan hubungan kerjasama antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan hubungan PN khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memberi lebih fokus untuk kefahaman yang lebih jitu dan erat selepas ini.

“Saya rasa dalam mana-mana organisasi pun, hatta dalam keluarga kita pun akan ada isu-isu atau perkara-perkara yang perlukan pelarasan dari segi kefahaman (untuk eratkan kerjasama).

“Saya tidak mahu berada dalam keadaan ‘in denial’ (menafikan perkara itu)… kata kita semuanya sempurna kerana tiada siapa pun yang sempurna dalam mana-mana organisasi pun.

“Tapi, sebenarnya tak ada perkara yang serius yang tak boleh kita tangani, pada saya itu perkara biasa sahaja yang boleh kita tangani dan perkukuhkan muafakat dalam PN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas desus hubungan yang hambar dalam PN hingga menyebabkan kekalahan yang teruk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 –2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.

Keretakan yang berlaku dalam hubungan PN itu dikatakan mula berlaku apabila Pas memberi lampu hijau untuk Bersatu meletakkan calonnya kerana didakwa bimbang akan mengalami kekalahan memalukan dan mahu ‘lepas tangan’ daripada bertanggungjawab terhadap kekalahan tersebut.

Sepanjang tempoh kempen juga, dikatakan jentera Pas tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membantu calon Bersatu hingga calonnya Mohamad Haizan Jaafar terpaksa membuat penafian.

Pada Sabtu, calon Barisan Nasional iaitu Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK Mahkota dengan 20,648 majoriti undi selepas memperoleh 27,995 undi berbanding calon PN Mohamad Haizan Jaafar, yang hanya mendapat 7,347 undi.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan setiap PRK yang berlangsung tidak melambangkan kekuatan sebenar mana-mana parti dan tidak mewakili sepenuhnya suara rakyat di akar umbi.

“Sebelum PRU 2018 pun, BN pernah menang besar dalam dua PRK namun kalah dan (hilang kuasa) pada pilihanraya umum tersebut dan ini membuktikan PRK bukanlah ukuran kekuatan yang sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya