Tiada pemain KDA datang jumpa saya – Sanusi

Tiada pemain KDA datang jumpa saya – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedia untuk membantu krisis yang dihadapi pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terutama berkaitan tunggakan gaji mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Presiden KFA itu berkata, pihaknya juga bersedia untuk bertemu dengan pemain pasukan berkenaan bagi mendengar permasalahan mereka secara berdepan.

“Tak ada lagi pemain datang jumpa saya, hanya cakap melalui media saja. Saya simpati dengan pasukan itu, minta mereka hubungi KFA nanti kita bawa dalam (mesyuarat) KFA untuk bincang apa yang boleh kita tengok (bantu).

“Kerajaan negeri salur kepada KFA, KFA akan tolong. Kita nak berhubung secara terus dengan swasta tak boleh lah, apa-apa yang boleh kita tolong kita tolong,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Penyerahan Sumbangan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah 2024 di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa, KFA tidak pernah lepas tangan dalam membantu pasukan tersebut walaupun ia di bawah pengurusan pihak swasta ketika ini.

“Kita pun ada komitmen lama, tanggung masa KFA dulu. KFA masih menanggung bayaran ansuran yang kita buat ikut jadual termasuk hutang-hutang lama dengan badan berkanun yang kita masih bayar dan untuk pelesenan KDA FC bagi 2024 pun KFA ada tolong,” katanya.

Pasukan bola sepak Kedah berdepan masalah kewangan meruncing apabila dikatakan gagal membayar gaji pemain sehingga lebih tujuh bulan yang mengakibatkan para pemain tidak turun menjalani latihan setelah mendakwa tiada wang untuk menampung keperluan harian selain mempunyai tunggakan hutang bank.

Akhbar ini juga baru-baru ini melaporkan krisis tersebut juga mengakibatkan para pemain dilanda pelbagai masalah keluarga sehingga mendesak mereka merayu campur tangan kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN