IPOH: Tiada masalah sekiranya sekumpulan individu di Teluk Intan yang tular dalam media sosial dengan mengibarkan bendera negara China itu adalah warganegara China.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia adalah perkara biasa seperti mana situasi rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera Malaysia di negara lain.
“Saya lihat macam ini, adakah rakyat negara China yang datang ke Malaysia dan dia mengibarkan bendera negaranya, adakah itu jenayah? kalau bukan jenayah, tiada masalah sebab dia bukan rakyat Malaysia.
“Yang salah kalau rakyat Malaysia yang berketurunan Cina tiba-tiba bawa bendera China, itu membawa gambaran salah kerana seolah-olah mengagungkan bendera negara luar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Ngopi Siswa USAS dan UPSI bersama Cikgu Saarani serta penyerahan Wakalah anak syarikat Yayasan Perak di sini hari ini.
Pelbagai tuduhan dilemparkan sejak kejadian yang dikatakan berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan tersebut tular dalam media sosial.
Saarani bagaimanapun menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa tentang adakah sekumpulan individu tersebut adalah rakyat Malaysia sendiri yang berketurunan Cina, kerana boleh mengundang persepsi yang salah.
“Orang Malaysia di London ada waktunya kita berhimpun kita bawa bendera Malaysia. Tapi tak salah sebab orang Malaysia mengagungkan bendera Malaysia.
“Kita kena tengoklah, saya tak pasti adakah di Teluk Intan itu orang Cina Teluk Intan (rakyat Malaysia) yang bawa bendera China atau rakyat mahupun pelancong China sendiri yang membawa bendera negara China,” katanya. – UTUSAN