PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak ada mana-mana kerajaan jatuh kerana membantu rakyat terutama dalam kalangan mereka yang miskin atau menaikkan gaji pekerja bawahan.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, sesebuah pemerintahan itu akan jatuh hanya kerana rasuah, penyelewengan dan tamak haloba yang perlu dielakkan pentadbir sesebuah negara.
Beliau berkata, segala langkah demi kepentingan rakyat memerlukan tekad politik yang berani walaupun keputusan menaikkan gaji penjawat awam selepas 12 tahun tidak ada kenaikan, misalnya, terpaksa menanggung satu peningkatan kos sehingga RM10 bilion.
“Saya ambil keputusan berani, (walaupun) kos tinggi, peningkatan kos gaji ini RM10 bilion ini tapi pendapat saya mudah. Saya tak pernah baca pengalaman sejarah sama ada Islam, China, India, Arab, Amerika Latin bahawa kerajaan ini jatuh kerana tolong belanja banyak kepada orang miskin, saya tak pernah dengar.
“Belum pernah tercatat dalam sejarah mana-mana pemerintah itu kalau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya, upah yang adil. Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, itu kita elak,” katanya ketika berucap meluncurkan Residensi Madani Putrajaya di sini hari ini.
Sejumlah 4,000 unit Residensi Madani Putrajaya bakal ditawarkan kepada rakyat untuk memiliki kediaman dengan harga serendah RM200,000 seunit.
Perdana Menteri berkata, sebanyak tujuh projek pembangunan itu di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.
Tujuh projek Residensi Madani ini terletak di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 iaitu Residensi Madani Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.
Berkeluasan 800 kaki persegi dengan harga mampu milik, pelbagai kemudahan awam turut disediakan di dalam plot pembangunan ini seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, kemudahan gelanggang sukan dan taman permainan kanak- kanak serta tempat letak kereta berbumbung.
Tapak pembinaan ini juga berdekatan dengan Pusat Kejiranan iaitu Kompleks Kejiranan, Kompleks Sekolah, Taman-Taman Awam dan kemudahan pengangkutan awam dan MRT.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangunan projek kediaman ini bertujuan menyediakan Perumahan Mampu Milik dalam kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan.
Katanya, ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan Sejahtera serta menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.
“Saya harap jangan ada melewat-lewatkan (persiapan projek), melambatkan tiga bulan enam bulan itu mendera rakyat yang menunggu sehingga menyebabkan kos meningkat.
“Jadi pastikan pengawasannya, kecepatan pelaksanaan projek dan kalau ada apa-apa masalah dari sudut kerenah birokrasi, selesaikan secepat mungkin.
“Saya nak pecahkan tembok yang mempersulit, orang nak rumah kena tunggu, pemaju kosnya meningkat,” katanya. – UTUSAN