PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk terus menghentikan minggu orientasi pelajar baharu di universiti awam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berpandangan, bagaimanapun program-program yang dilaksanakan perlu mempunyai pengisian berkaitan supaya dapat mencapai objektif.
Katanya, ini kerana mana-mana universiti di seluruh negara sekali pun masih menganjurkan program sedemikian yang antaranya bertujuan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia baharu yang bakal ditempuh oleh mereka.
“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri (melibatkan) pelajar-pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun.
“Jadi mungkin ada masalah di sesuatu tempat, tapi jangan lah kita melihat satu pandangan terus mengatakan bahawa seolah-olah orientasi ini sudah tidak sesuai, mungkin ada satu (atau) dua tempat (sahaja begitu),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di sini hari ini.
Zambry berkata demikian ketika ditanya mengenai sebuah video tular baru-baru ini yang memperlihatkan situasi minggu orientasi di mana terdapat beberapa individu sedang bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau digelar ‘prank’ dipercayai berlaku di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat, Johor.
Ramai pihak turut berpandangan situasi berkenaan seperti berlebih-lebihan dan tiada keperluan untuk dijadikan sebahagian daripada pengisian pada sesi minggu orientasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan yang diambil bagi mengisi aktiviti sepanjang berlangsungnya minggu orientasi juga harus lah bersesuaian.
“Asas program orientasi itu kita sebut sebagai proses sosialisasi untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain. Yang kedua, adalah untuk menyesuaikan diri di tempat baharu dan juga membina tradisi penting di dalam sesebuah universiti,” ujarnya.
Pada masa sama, Zambry turut meminta pihak pengurusan universiti awam berkenaan untuk memperbetulkan keadaan dan berharap kejadian serupa tidak berulang di tempat-tempat lain. – UTUSAN