ALOR SETAR: Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad sudah berdamai dengan peniaga yang didakwa terlibat dalam pertikaian dengannya selain menafikan ada kekasaran yang dilakukan seperti tular di media sosial.
Menurut beliau, mereka sudah bertemu semula di sebuah warung di bandar raya ini kira-kira pukul 11 malam tadi dan saling bersalaman serta berpelukan sambil disaksikan beberapa individu lain.
“Sebenarnya antara saya dengan dia tak ada apa-apa isu pun. Kami sudah kenal lebih setahun lalu dan hubungan saya dengan beberapa peniaga di situ ibarat keluarga. Kalau tahu bagaimana hubungan kami, memang seronok kisahnya kerana kami macam adik-beradik.
“Saya selalu ke kedainya sebelum ini dan dia pun sambut dengan mesra. Cumanya pada malam itu entah bagaimana berlaku kejadian sedemikian tapi apabila kami bertemu semalam, masing-masing berdamai dan bermaafan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengenai penularan video melibatkan kejadian itu, Salmy Anas merasakan terdapat agenda lain di sebaliknya, malah individu yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu bukanlah orang yang dilihat berbalah dan mencekak bajunya dalam kejadian tersebut.
“Sebaliknya laporan polis itu dibuat oleh orang yang tiada kena-mengena dengan kejadian itu. Laporan itu bukan dibuat oleh individu yang dilihat memarahi saya dalam video tersebut.
“Saya difahamkan orang yang buat laporan polis itu masih belum tarik laporan dan disebabkan itu, saya juga tidak menarik laporan yang dibuat semalam. Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan,” katanya.
Tambahnya, beliau telah membaca pelbagai versi cerita mengenai kejadian tersebut di media sosial sejak semalam.
“Ramai yang buat fitnah tetapi saya ada Allah. Hakikatnya peniaga di situ baik-baik dan apabila ada masalah, saya akan berkunjung untuk mendengar masalah mereka. Saya rasa ada motif lain di sebalik isu ditimbulkan ini tetapi saya serahkan segalanya kepada Allah,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada dua lelaki berusia 48 dan 54 tahun, semalam.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan berdasarkan kedua-dua laporan polis tersebut di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN