Thailand iktiraf Malaysia penyumbang terbesar pelancongan

Thailand iktiraf Malaysia penyumbang terbesar pelancongan

PATTARAANONG Na Chiangmai (dua kanan) bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dr. Yasmeen Yasim (tengah) melancarkan Malaysia & Thailand Self Drive Tourism di Kompleks Bebas Cukai The Zon, Bukit Kayu Hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Thailand mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu negara terbesar yang menyumbang kepada pasaran pelancongan negara itu dengan kira-kira empat juta rakyat Malaysia berkunjung ke sana tahun ini.

Data setakat Rabu lalu itu direkodkan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) sejak 1 Januari lalu yang menyaksikan 49 peratus daripadanya menggunakan pintu sempadan Sadao di Wilayah Songkhla dekat sini sebagai laluan masuk.

Sebahagian besar mereka menjadikan bandar Hatyai dan sekitarnya terletak sejam dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebagai lokasi utama untuk melancong bersama keluarga.

Timbalan Gabenor Pemasaran Antarabangsa TAT, Pattaraanong Na Chiangmai berkata, untuk tahun ini, negara gajah putih itu menyasarkan kehadiran lima juta rakyat Malaysia untuk bercuti dalam tempoh berbaki kira-kira dua bulan ini.

“Sempena kempen Thailand’s Grand Invitation tahun depan, kami menawarkan produk dan perkhidmatan serta acara-acara pelancongan menarik di kawasan selatan untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dari bulan ini hingga awal 2025, antaranya festival terkenal seperti Loi Krathong, sambutan tahun baharu dan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Malaysia & Thailand Self Drive Tourism di Kompleks Bebas Cukai The Zon di sini, hari ini.

Pada masa sama ujar Pattaraanong, sehingga Ogos lalu, Malaysia pula menerima kehadiran kira-kira 1.1 juta pelancong Thailand yang menyaksikan peningkatan 19.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, mereka sentiasa mencari peluang untuk memacu dasar hubungan antarabangsa negara itu yang dipanggil IGNITE Tourism Thailand.
“Ia dengan meningkatkan Thailand sebagai destinasi pelancongan global dan menggalakkan pelancongan rentas sempadan dengan negara-negara jiran ASEAN terutama Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Thailand dan Malaysia wajar memanfaatkan kesalinghubungan yang cekap melalui laluan udara, darat, air dan kereta api yang memberikan peluang untuk kedua-dua negara terus mempromosikan pelancongan dua hala dan membangunkan ekonomi masing-masing.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada cukai perjalanan 300 baht (RM39) yang dirancang dikenakan ke atas pelancong asing akan memberi kesan kepada kehadiran pelancong Malaysia, Pattaraanong berkata, langkah itu masih di bawah dasar negara yang akan dibincangkan semula.

“Cukai itu masih belum dilaksanakan dan kami sedang melakukan kajian untuk melihat kesan negatif dan positif pelaksanaannya. Sebenarnya di peringkat awal dahulu kami sudah selesai tetapi selepas pandemik melanda situasinya sudah berubah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya