TFC tekad tamat kemarau kemenangan

TFC tekad tamat kemarau kemenangan

Pengendali sementara Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) bertekad untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam enam perlawanan ketika berkunjung ke Alor Setar bertemu Kedah Darul Aman (KDA) di Alor Setar, malam ini.

Pengendali sementara TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendaliannya tiada pilihan selain meraih tiga mata sekiranya mahu terus bersaing di kelompok atasan Liga Super.

Bekas jurulatih TFC II itu bagaimanapun mengakui tugas sukar menanti di Stadium Darul Aman dengan ketumpulan jentera serangan terus memberi masalah kepada skuad Penyu.

Lebih ‘memeningkan’ kepala Badrul Afzan apabila penyerang import, Nelson Bonilla, tampak bergelut dengan isu kecergasan setelah pulang dari skuad kebangsaan El Salvador.

“Aspek penyudah menjadi fokus utama persediaan TFC sejak perlawanan terakhir dua minggu lalu tetapi kami melakukannya tanpa enam pemain yang bersama pasukan negara masing-masing.

“Bonilla baru tiba hari ini (semalam) setelah menempuh perjalanan yang jauh dan mengadu mengalami masalah kecederaan ‘hamstring’, jadi masih 50-50 untuk diturunkan bertemu KDA.

“Hanya (Ismaheel) Akinade dan Syahmi (Zamri) bersama skuad utama di jentera serangan tetapi dia (Bonilla) tetap akan bersama rakan-sepasukan berkunjung ke Alor Setar.

“Misi TFC hanya satu iaitu menamatkan kemarau kemenangan dan saya harap segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik oleh barisan pemain,” katanya.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, TFC kini di kedudukan ketiga mengumpul 17 mata, hanya tiga mata mengatasi pasukan tangga ketujuh, Sabah yang berkelebihan satu perlawanan.

Dalam perkembangan sama, Badrul Afzan menegaskan tidak timbul isu ambil mudah oleh skuad Penyu meskipun menyedari masalah dalaman membabitkan tunggakan gaji dihadapi KDA.

“Kami tidak terlalu memberi perhatian kepada pasukan lawan sebaliknya fokus terhadap bagaimana corak permainan yang mahu dipamerkan di sana nanti untuk mencari kemenangan.

“Difahamkan mereka (KDA) mempersiapkan skuad utama berdepan TFC dan dengan barisan pemain berpengalaman dimiliki Nafuzi Zain, bukan tugas mudah untuk kami,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya