TFC miliki calon ketua jurulatih baharu - Utusan Malaysia

TFC miliki calon ketua jurulatih baharu

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) sudah memiliki calon ketua jurulatih yang disenarai pendek bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pengendali, Tomislav Steinbruckner.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata, TFC akan mengukur baju di badan sendiri sebelum melantik individu terbaik di kerusi panas itu.

Beliau menjelaskan, isu kewangan menjadi faktor utama pihak pengurusan dalam memilih nakhoda baharu bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC).

Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya meletakkan kepercayaan kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC untuk mengambil tindakan susulan.

“Ketika ini, pasukan sudah mempunyai penolong-penolong jurulatih untuk menjalankan tugas secara sementara sambil kita uruskan perkara ini dengan cermat dan terbaik.

“Senarai pendek (jurulatih baharu) sudah ada tetapi saya belum boleh bercakap lebih panjang, kita akan membuat penilaian terlebih (calon) sebelum buat keputusan terbaik.

“Kalau boleh mahu jurulatih sehebat Alex Ferguson atau Jurgen Klopp, namun tengok kemampuan kita dahulu,” katanya ketika ditemui sini, hari ini.

Terdahulu TFC mengesahkan Steinbruckner melepaskan jawatannya bersama dua penolong jurulatih dengan tugas pengendali sementara kini digalas Badrul Afzan Razali sambil dibantu Hairuddin Omar.

Keputusan itu dibuat susulan kemerosotan prestasi skuad Penyu yang bergelut dengan prestasi dan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super serta ACC.

Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyeru penyokong setia TFC berdiri teguh di belakang pasukan untuk perlawanan mendatang.

Katanya, semangat pemain ke-12 itu sangat diperlukan barisan kejurulatihan dan pemain untuk kembali bangkit dan meraih semula maruah yang tercalar bermula perlawanan bertemu PDRM, Jumaat ini.

“Dalam setiap perjalanan pasti ada cabaran, begitu juga usaha membina sebuah pasukan yang mantap. Apa yang penting semangat penyokong bersama pasukan untuk melalui tempoh sukar ini,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya