KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) dirundung malang apabila sekadar seri 1-1 dengan PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan TFC terus mengalami kemarau kemenangan untuk memungut 17 mata di tempat ketiga manakala PDRM FC melonjak ke tangga kelima dengan 15 mata.
Awal permainan memihak TFC yang memiliki peluang terbaik namun sepakan percuma ketua pasukan, Safawi Rasid, minit keenam terkena tiang ketika penjaga gol lawan sudah tertewas.
Skuad Penyu terus mengasak kubu PDRM melalui umpanan kemas Azam Azmi Murad dari sebelah kanan malangnya terlalu kuat untuk disambar Nelson Bonilla pada minit ke-13.
Kesilapan penjaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin, gagal menangkap kemas bola kemudian nyaris menghadiahkan gol buat PDRM FC mujur percubaan Bruno Suzuki (m-19) menggegar palang.
Tuan rumah tampak garang menuju rehat menyaksikan sepakan leret pemain sayap, Akhyar Rashid minit ke-40 tersasar ke sebelah tepi menerusi gerakan dengan Manuel Ott.
Gol dicari-cari TFC menjelma hasil tolakan mudah Bonilla (m-44) yang melakukan tindakan susulan setelah percubaan Azam Azmi ditepis untuk membawa kedudukan 1-0 ke bilik persalinan.
Lapan minit bersambung babak kedua, PDRM FC mengikat kedudukan menerusi tandukan mudah Chidi Osuchukwu yang tidak dikawal berpunca sepakan sudut Kyaw Min Oo.
TFC cuba menggandakan serangan namun hampa apabila percubaan berturut-turut Ott pada minit ke-67 dan ke-68 disusuli sepakan lencong Akhyar minit ke-73 gagal menemui sasaran.
PDRM FC sebaliknya hampir memerangkap TFC menerusi serangan balas Mahmoud Saleh tetapi rembatan derasnya minit ke-75 ditepis penjaga gol dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat. – UTUSAN