GEORGE TOWN : Hajat Penang FC untuk merakam kemenangan kedua di laman sendiri dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila ‘diaibkan’ Sri Pahang FC 0-1 di Stadium Bandaraya di sini, malam ini.
Bermula seimbang, kedua-dua pasukan bagaimanapun dilihat agak berhati-hati dalam mengatur serangan ke kubu lawan.
Hasilnya, tidak banyak percubaan ke arah gol dapat dilihat khususnya pada babak awal perlawanan.
Ketika tuan rumah dilihat ghairah menyerang untuk memburu gol sulung perlawanan, Sri Pahang bagaimanapun terlebih dahulu di depan.
Gol berpunca daripada hantaran lintang Sergio Aguero yang mudah ditolak oleh seorang lagi penyerang Sri Pahang, Mykola Ahapov pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Masuk babak kedua, Harimau Kumbang mula menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan menerusi gandingan penyerang import mereka, Rodrido Dias dan Dylan Wenzel Halls.
Bagaimanapun kekentalan benteng pelawat yang diterajui bekas pemain kebangsaan, Mohamad Fadhli Shas dan pemain import, Aleksandar Cvetkovic menutup peluang Penang FC untuk menyamakan kedudukan.
Kealpaan pertahanan Penang FC kemudiannya nyaris dihukum oleh gol kedua Sri Pahang menerusi pemain kelahiran Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-54.
Bagaimanapun, gol yang dijaringkan menerusi tandukan itu dibatalkan selepas pengadil, Muhammad Munir Mohd. Izam berjaya mengesan kekasaran yang dilakukan oleh pemain berkenaan.
Penang FC kemudian terus melipatgandakan usaha mereka untuk menyamakan kedudukan, namun, keputusan 0-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan skuad Tok Gajah membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Bandaraya.
Sementara itu, kekalahan kelima daripada 12 perlawanan menyebabkan Penang FC ‘tergelincir’ satu anak tangga iaitu di tangga ke-11 ketika ini manakala Sri Pahang pula masih kekal di tangga kesembilan liga selepas meraih kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super musim ini.-UTUSAN