PETALING JAYA: Perlis akan terus memperkasa sektor ekonomi utamanya bagi meningkatkan pendapatan diperoleh negeri tersebut.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tiga sektor utama di negeri itu ialah perindustrian, pertanian dan pelancongan.
“Potensi-potensi besar lain seperti kuari dan perlombongan, logistik, pendidikan dan latihan, teknologi hijau dan perikanan juga akan dimanfaatkan sebaiknya.
“Ini bagi memastikan sektor ekonomi Perlis sentiasa berada pada landasan -tepat dan setaraf dengan negeri-negeri lain,” titah baginda menerusi kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Baginda bertitah selepas berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis di Restoran Meet Bros (By Me’nate & Jibby & Co.) yang beroperasi di 29-31 Craven Road, London W2 3BX, United Kingdom baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis yang dihoskan oleh pihak restoran tersebut disambut oleh wakil pengarah, Jalani Abdul Ghani dan pengurus, Yusri Othman.
Menurut kenyataan tersebut, kurma daging dan kurma ayam Perlis akan dimasukkan dalam menu restoran berkenaan selama satu bulan iaitu bermula pada 1 November ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk turut menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024 hingga 2025.
Katanya, promosi tersebut diinisiatifkan oleh Pengarah Eksekutif di Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. (PBRSB), Azuan Arif Mohd Ariffin dan salah seorang rakan kongsi restoran berkenaan.
“Perasmiannya turut mendapat kerjasama daripada rakan strategiknya seperti YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) (DMIA) Sdn. Bhd.,” katanya.– UTUSAN