NIBONG TEBAL : Isu gangguan air yang berlarutan sejak dua minggu lalu di Taman Widuri, Mukim 5, di sini menyebabkan ada dalam kalangan anak-anak di taman perumahan itu terpaksa ponteng sekolah.
Rata-rata penduduk mendakwa, rutin mengangkut air dari tangki ke kediaman masing-masing yang dilakukan setiap hari menyebabkan ada dalam kalangan isi rumah perlu mengambil cuti bagi memastikan bekalan air di rumah tidak terputus.
Salah seorang penduduk, Umaira Sahar, 34, berkata, tiga anaknya sudah beberapa hari ponteng sekolah susulan keputusan bekalan air.
“Lebih menyukarkan keadaan, sekolah mereka juga tidak ada air, malah, guru-guru turut berpesan kepada anak-anak untuk membawa bekalan air bagi kegunaan di tandas.
“Bayangkan, saya seorang diri perlu mengangkat baldi air dari tangki ke rumah yang terletak di bahagian belakang taman. Kadang-kadang, kami sekeluarga guna air hujan untuk mandi dan pakaian dihantar ke dobi layan diri, namun, ini semua memerlukan kos yang tinggi,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, lebih 50 penduduk mengadakan bantahan aman bagi menuntut jalan penyelesaian berhubung isu bekalan air itu dengan kadar segera.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, masalah terbabit bukan sahaja memberi kesan terhadap pembelajaran anak-anak, malah, penghuni kediaman secara keseluruhannya.
Katanya, penduduk berharap agar Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil perhatian dan membantu memastikan isu ini dapat ditangani segera.
“Kalau nak ikutkan, masalah yang berlaku ini tidak logik kerana semasa saya tinggal di Selangor dahulu, catuan air dibuat mengikut kawasan. Kenapa tidak lakukan cara yang sama di sini?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail berkata, beliau memahami situasi kebocoran paip yang berlaku hingga memaksa penduduk di Mukim 5 berdepan gangguan bekalan air berjadual (SWSI).
“Bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini adalah melakukan pelan kontingensi dengan kerjasama SADA (Syarikat Air Darul Aman) dan LAP (Lembaga Air Perak).
“Caranya dengan meminta bantuan lori-lori tangki air untuk diisi ke dalam tangki statik yang ada bagi memastikan bekalan tidak putus hingga masalah SWSI dapat diatasi terutamanya pada waktu puncak,” kata beliau.-UTUSAN