‘Terlalu kejam campak Sabari hidup-hidup ke dalam Sungai'

‘Terlalu kejam campak Sabari hidup-hidup ke dalam Sungai’

SUBHIAH Roslina Shahibi yang hadir ke lokasi operasi pencarian jasad suaminya, Sabari Baharom yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: “Bagi saya kejam sebab orang yang masih bernyawa dicampakkan ke dalam sungai seperti itu,” demikian ujar Subhiah Roslina Shahibi.

Isteri kepada Sabari Baharom, 62, itu berkata, dia tidak dapat menerima perbuatan suspek yang sanggup mencampakkan suaminya ke sungai dalam keadaan masih bernyawa.

Subhiah, 57, berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun yang diberkas polis itu.

“Umur suami saya 62 tahun, yang buat itu pula macam peringkat anak iaitu umur 26 dan 38 tahun,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke lokasi pencarian jasad Sabari di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu, di sini.

Katanya, dia tidak mengetahui motif sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan suaminya diperlakukan sedemikian rupa kerana disamun.

“Berlaku banyak fitnah dan macam-macam versi cerita, semasa saya di Kuala Lumpur pun bermacam cerita. Namun kes ini kemungkinanlah sebab orang nak samun,” ujarnya.

Mengenang kejadian menimpa Sabari itu, Subhiah sedih kerana suaminya seorang yang sangat baik dan disenangi ramai selain tidak pandai marah yang mungkin menjadi sebab ada pihak mengambil kesempatan.

Sementara itu, dia yang tinggal di Kuala Lumpur kerana masih bekerja di Felcra memaklumkan tidak mengenali suspek termasuk tidak pernah diceritakan apa-apa isu berkaitan sepanjang berbual dengan Sabari.

“Saya memang tak kenal sebab saya PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan suami, lagipun suami tidak pernah sebut nama orang itu. Jadi saya memang tidak tahu siapa orangnya.

“Kali terakhir jumpa suami semasa dia datang ke Kuala Lumpur dan hantar buah-buahan dari dusunnya pada 27 Julai lalu. Kali terakhir kami berbual menerusi telefon pula adalah 2 September lalu sebelum dia hilang.

“Dia ada nasihat saya jangan pergi ke kawasan tanah jerlus di Masjid India sebab dia takut saya hilang, susah dia. Tetapi tiba-tiba dia pula yang hilang,” katanya.

Menurut Subhiah, dia akan mengikuti usaha pencarian suami sehingga Jumaat ini dan berharap agar jasad suami ditemukan supaya dapat dikebumikan.

“Selain itu, solat hajat yang dibuat sepanjang kehilangan suami akan diteruskan sehingga jasadnya ditemui. Felcra ada buat (solat hajat), surau di rumah saya di Kuala Lumpur pun ada buat kerana suami juga ahli surau di sana,” ujarnya.

Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari sebelum kereta Proton Waja dinaiki mangsa ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN