SUNGAI BULOH: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kediamannya di Kuang, Rawang, dimasuki lelaki warga Nepal tidak dikenali semalam, yang tiba-tiba memeluk dan cuba membawa lari anak saudaranya berusia dua tahun.
Bagaimanapun, tindakan pantasnya merampas kembali kanak-kanak itu, selain menjerit kuat meminta pertolongan berjaya menggagalkan cubaan suspek yang kemudian melarikan diri.
Menceritakan kejadian terbabit, S Kalaiarasi, 30, berkata, ketika kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, dia bersama anak perempuannya berusia setahun dan anak saudaranya sedang bermain di ruang tamu.
“Saya terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki warga asing tidak dikenali masuk ke dalam rumah dan terus memeluk anak saudara sebelum cuba membawa lari.
“Saya kemudian menjerit dan berjaya merampas kembali anak saudara sebelum lelaki itu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kalaiarasi berkata, jeritannya didengari jiran sebelum penduduk kampung yang menyedari kejadian bertindak mengejar lelaki itu dan menahannya.
Difahamkan sebelum kejadian itu, suspek terlebih dahulu ke rumah jiran mangsa dan mengaku sebagai tukang cuci dan ingin mengemas rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketika kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun nyaris menjadi mangsa culik namun diselamatkan neneknya yang menyedari insiden berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Nepal yang menyamar sebagai tukang cuci cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kuang, di sini, ditahan orang ramai.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila beberapa video menunjukkan suspek diikat orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya mengesan dua video tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki warga Nepal sedang disoal siasat selain satu lagi video menunjukkan lelaki itu dalam keadaan terbaring dengan tangan diikat.
Katanya, laporan awal mendapati seorang wanita berusia 47 tahun mendakwa terdengar jeritan jirannya meminta tolong memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya pada pada 12.40 tengah hari, semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik,” katanya.- UTUSAN