KUALA LUMPUR: Makna sebenar perayaan Deepavali perlu dihayati semua masyarakat dan bukan hanya kepada penganut Hindu semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengertian Deepavali atau pesta cahaya perlu diterjemah kepada kesejahteraan secara bersama dengan meneruskan perjuangan ke arah kebaikan dan keadilan demi masa depan lebih baik.
“Kita tahu semangat Deepavali atau festival cahaya iaitu menyemarakkan lampu cahaya menggantilan kegelapan.
“Jadi, ada sejarahnya yang rakyat Malaysia semua perlu tahu bahawa sambutan ini adalah tujuannya untuk menyatakan bahawa hidup ini lebih daripada sekadar makan dan minum,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani anjuran Kementerian Digital di Sentul Depot di sini, hari ini.
Hampir 5,000 pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan sambutan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, Anwar turut berharap semangat sambutan Deepavali dapat memberikan ruang kepada seluruh masyarakat untuk membawa Malaysia ke arah cahaya yang bergemerlapan.
Menurutnya, usaha itu selari dengan langkah-langkah yang dirancang dan sedang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini.
“Apa-apa kelemahan dan kekurangan menteri-menteri boleh beritahu pada mereka dan kita akan perbaiki kerana semangat kita adalah dari yang gelap menuju kepada yang cerah, dari kegelapan kepada cahaya,” tambahnya.-UTUSAN