Tengku Muhammad, Tengku Natasya Puteri selamat diijabkabulkan

Tengku Muhammad, Tengku Natasya Puteri selamat diijabkabulkan

PASANGAN Pengantin Diraja selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Putera Raja Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar pukul 8.50 malam ini.

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat perkahwinan Diraja Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan istiadat berkenaan diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, anakanda dan menantu dengan mengenakan persalinan berwarna hijau.

Istiadat Akad Nikah bermula sekitar pukuln8.40 malam dengan bacaan surah Al-Fatihah, lafaz shahadah dan bacaan khutbah nikah oleh Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Pasangan Pengantin Diraja dinikahkan sendiri oleh ayah pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan disaksikan oleh Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah sebagai saksi pertama, Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah sebagai saksi kedua, dua saksi dari pihak pengantin perempuan serta seluruh hadirin yang hadir.

Tengku Muhammad yang berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz, kira-kira pukul 8.50 malam.

Tengku Muhammad kemudiannyan melafazkan lafaz taqlik dan seterusnya diiring keluar untuk menunaikan solat sunat nikah.

Istiadat dilanjutkan dengan keberangkatan pasangan Pengantin Diraja ke persada persandingan bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran dan menyarung cincin.

Majlis berakhir dengan bacaan doa dan pengisytiharan perkahwinan serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh ayahanda Putera Raja, Al-Sultan Abdullah.

Sementara itu, Istiadat Perkahwinan Diraja itu dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi Istiadat Akad Nikah, pada esok untuk Istiadat Berinai dan Ahad untuk Istiadat Persandingan Diraja.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja itu juga disiarkan secara langsung melalui layar besar disediakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan Dataran Pekan, Pekan.

Pelbagai acara menarik turut diadakan di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tempoh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN