Teater Bahasa Melayu 145 murid SJKC terap nilai murni

Teater Bahasa Melayu 145 murid SJKC terap nilai murni

PERTANDINGAN Teater Bahasa Melayu terap nilai penggunaan bahasa kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) peringkat kebangsaan boleh menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang penuh dengan nilai-nilai murni sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bahasa kebangsaan merupakan salah satu “tiang seri” dalam pembinaan negara bangsa.

Menurut beliau, pertandingan berkenaan menekankan kepada elemen kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui bahasa kebangsaan.

“Teater ini menjadi wadah bagi menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan selain mewujudkan sikap megah berbahasa dalam kalangan pelajar SJKC serta semua pihak sepanjang pertandingan.

“Program berbentuk silang budaya amat penting untuk meningkatkan kefahaman, rasa hormat-menghormati dan saling menghargai antara masyarakat berbilang kaum seiring dengan konsep Faham, Hormat dan Terima yang digariskan oleh pihak kementerian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 15 buah pasukan terdiri daripada 145 orang murid daripada SJKC Zon Tengah, Utara dan Selatan menyertai pertandingan akhir yang berlangsung hari ini.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama strategik Persatuan Han Malaysia (HAN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengulas lanjut, Aaron berkata, menerusi Dasar Perpaduan Negara, bahasa Melayu perlu dipelihara dan dimartabatkan sebagai bahasa yang mencerminkan identiti nasional.

Katanya, bahasa kebangsaan mampu menyimpul kukuh ikatan perpaduan negara yang berbilang bangsa sebagai bahasa pengantar utama.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh KPM bagi memartabatkan Bahasa Melayu. Antaranya, penyediaan perkhidmatan rujukan maklumat Malaysian kepada rakyat melalui Perpustakaan Negara Malaysia.

“Selain itu, aktiviti bersama komuniti setempat bagi menyemarakkan Bulan Bahasa

Kebangsaan melalui Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya