Tarik banyak syarikat kargo, jadikan KLIA hab logistik ASEAN

Tarik lebih banyak syarikat kargo udara, jadikan KLIA hab logistik utama ASEAN

ANTHONY Loke menyaksikan penyerahan momento pada majlis perasmian kerjasama strategik antara MAC dan Unilode di Alibaba Cainiao KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia mahu menarik lebih banyak syarikat pengangkutan kargo udara dalam usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab logistik dan persinggahan utama di rantau ASEAN.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana KLIA menawarkan banyak potensi untuk terus berkembang pada masa hadapan dalam perkhidmatan logistik negara.

Katanya, pada masa ini banyak permintaan daripada beberapa syarikat pengangkutan kargo, termasuk beberapa syarikat multinasional yang sudah berunding dengan kerajaan dalam menyediakan ruang bagi mereka untuk melabur dan berkembang.

“Seluruh idea KLIA Aeropolis adalah untuk menjadikan KLIA sebagai hab untuk rantau ASEAN. Ini kerana KLIA memiliki semua faktor diperlukan yang dapat membantu Malaysia untuk terus berkembang.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan besar berlaku di bahagian kargo KLIA, banyak kompleks gudang kargo baharu, termasuk kompleks ini, Cai Niao. Dan saya pasti akan ada lebih banyak lagi pembangunan akan datang,” katanya selepas merasmikan kerjasama strategik antara MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC) dan Unilode Aviation Solutions di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, dalam aspek kesalinghubungan ASEAN, KLIA adalah antara yang terbaik di rantau ASEAN.

Katanya, ini antaranya melalui syarikat penerbangan terutama syarikat penerbangan kos rendah yang banyak terbang ke bandar kedua di ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja terus dari KLIA.

“KLIA kargo boleh berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dari segi meningkatkan jumlah trafik, penerbangan dan menarik lebih banyak syarikat pengangkutan kargo,” katanya.

Mengulas berhubung perkongsian strategik antara MAC dan Unilode, Anthony berkata, ia menunjukkan bagaimana kolaborasi antara pemain tempatan dan antarabangsa dapat menyokong matlamat yang lebih luas dalam meningkatkan keupayaan operasi dan daya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya