Tangki minyak bocor cemar Sungai Gong

Tangki minyak bocor cemar Sungai Gong

Sungai Gong
SEBUAH tangki dekat kilang di Kawasan Industri Rawang Integrated bocor menyebabkan aliran dipercayai minyak masuk ke longkang dan seterusnya Sungai Gong, di Rawang, Selangor, baru-baru ini. - Gambar LUAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kilang di Kawasan Industri Rawang Integrated dikenal pasti menjadi punca kepada pencemaran Sungai Gong apabila berlaku tumpahan minyak berpunca daripada kebocoran tangki di premis terbabit pada Isnin lalu.

Semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati punca aliran minyak berkenaan adalah disebabkan kebocoran daripada tangki disyaki minyak milik premis terlibat ekoran daripada kerosakan injap tangki.

Kebocoran daripada tangki dengan kapasiti 1.84 meter padu tersebut menyebabkan anggaran 1.23 meter padu kapasiti aliran minyak melimpah keluar dan memasuki longkang berhampiran serta seterusnya ke Sungai Gong.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin berkata, LUAS mengarahkan pihak premis untuk menghentikan aliran minyak itu serta-merta termasuk meletakkan pasir di kawasan tumpahan minyak di dalam premis sebagai tindakan kawalan.

Menurutnya, LUAS juga mengeluarkan Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan dengan kadar segera di premis serta jajaran sungai yang terkesan, dan juga kawalan tumpahan di dalam premis daripada terus memasuki aliran Sungai Gong.

“Dalam masa sama, LUAS turut meletakkan sebanyak empat unit oil boom dan 22 keping oil pad di keseluruhan longkang dan premis serta di sungai sebagai langkah kawalan pencemaran dan membuat sekatan menggunakan pasir bagi meningkatkan pencegahan kemasukan aliran berminyak ke dalam longkang dan seterusnya sungai.

“Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kesemua lokasi terlibat merangkumi di sungai, di dalam premis dan kawasan longkang berhampiran dilaksanakan oleh kontraktor dilantik oleh premis berkenaan dan selesai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, sebanyak 10,000 liter isipadu air yang tercemar dengan sisa minyak dibersihkan dan disedut melibatkan 1 buah lori tangki berkapasiti 13,000 liter.

“Pencemaran tersebut dikesan pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam rutin rondaan dan pemantauan 24 jam yang mendapati kesan dan bau minyak di Sungai Gong dengan bacaan bau 1 TON kira-kira pukul 9.50 pagi.

“Kebocoran tersebut menyebabkan pencemaran dekat sungai dalam Lembangan Sungai Selangor itu yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 pada jarak kira-kira 25.68 kilometer,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jamaliah menegaskan kerajaan negeri dan LUAS tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian mana-mana pihak menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air.

“Pensampelan LUAS di kesemua lokasi berkaitan insiden dihantar untuk analisis Jabatan Kimia Malaysia dan LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut  penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.

“Pastikan sebarang aktiviti dan operasi premis dikawal daripada setiap aspek keselamatan dan kesihatan serta diambil tindakan pencegahan dan pembaikan segera. Kecuaian terhadap operasi premis memberi risiko kepada sumber air, akhirnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada rakyat Selangor,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya