BANDAR BAHARU: Jumlah tangkapan melibatkan individu berkaitan Global Ikhwan Service And Business Holdings (GISBH) bersifat dinamik dan sentiasa berubah-ubah bergantung kepada keperluan siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahahan baharu akan dilakukan sekiranya pihak berkuasa terutama polis perlu melengkapkan siasatan mereka.
Menurutnya, pada peringkat awal siasatan hanya empat peruntukan undang-undang melibatkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) digunakan, namun kini sudah bertambah kepada 10.
“Dari segi angka ianya sangat dinamik sebab setiap siasatan akan membawa kepada penemuan-penemuan baharu. Akta di bawah kami sepanjang ingatan saya sudah ada sekitar sembilan hingga 10 akta, asalnya empat akta sahaja tetapi semakin kita buka kertas siasatan pelanggaran turut melibatkan akta lain.
“Jadi kalau ditanya kepada saya apakah akan ada lagi tangkapan, saya kata biar pihak polis buat berasaskan kepada jenis kesalahan mengikut seksyen dan akta tertentu.
“Kalau ada kewajarannya itu maka siasatan ini akan dilengkapkan dan kemudian diserah kepada Pejabat Peguam Negara sama ada akan ada tangkapan baharu sebab soal siasat ke atas penjaga, pimpinan GISBH atau anak-anak ini sangat komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Sua Mesra Bersama KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) yang diterima Presidennya, Adie Suri Zulkifli.
Saifuddin berkata, tujuan siasatan adalah untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan kerana setiap tindakan diambil berasaskan bukti yang meyakinkan ke atas mereka yang terlibat.
Ujarnya, jumlah tangkapan terkini melibatkan GISBH adalah seramai 625 orang setakat beberapa hari lalu dan tidak mustahil angka itu akan meningkat selepas beliau diberi taklimat perkembangan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan seorang anggota polis terlibat dalam kes tembak mati seorang anggota tentera di Song, Sarawak pada 23 September lalu.
“Saya dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata tentang penglibatan seorang anggota polis dan kertas siasatan telah dibuka. Setakat itu sahaja saya boleh sahkan berdasarkan kepada taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada saya,” katanya.
Sebelum ini, Polis Sarawak berjaya menahan dua suspek tempatan berusia 31 tahun sekitar pukul 6 petang, 24 September lalu bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera. – UTUSAN