Tangisan iringi Vivian ke menara gading

Tangisan iringi Vivian ke menara gading

AHMAD Dasuki Abdul Majid (dua kiri) menyerahkan replika sumbangan CSR PTPTN akaun simpanan kepada Vivian di Kampung Pasir Parit, Chetok Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Vivian Koh Lik Ting, 20, menangis gembira apabila impian menyambung pelajaran ke universiti menjadi kenyataan selepas terpaksa menolak sebelum ini akibat kemiskinan hidup.

Berkongsi kisah itu, Vivian berkata, mengikut perancangan asal dia sepatutnya melapor diri sebagai pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Oktober lalu namun gagal berbuat demikian selepas tidak dapat membayar yuran pendafataran.

Menurutnya, ketika itu dia hanya mempunyai wang RM500 sedangkan perbelanjaan sebenar RM3,000.

“Pelbagai ikhtiar dan usaha telah dilakukan oleh ayah (Koh Boon Thin, 45) dengan melakukan pelbagai pekerjaan masih belum mencukupi.

“Pada masa sama, saya juga bekerja di sebuah kedai kasut dekat Tanah Merah namun masih tidak cukup. Disebabkan itu, saya tidak dapat mendaftarkan diri sebagai pelajar UMK,” katanya kepada pemberita  selepas menerima kunjungan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Yayasan Raja Shamri dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di rumahnya di Kampung Pasir Parit Chetok di sini hari ini.

Kepayahan hidup Vivian itu menyentuh hati pelbagai pihak selepas Yayasan Raja Shamri memuat naik kisah gadis berkenaan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, hari ini badan itu  menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, bantuan kepada Vivian tidak hanya terhenti di situ kerana dia  layak untuk menerima bantuan Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

“Program ini merupakan antara usaha untuk mencapai aspirasi global dan nasional yang dilaksanakan bagi membantu anak pertama daripada keluarga B40 yang berjaya menjadi wakil pertama keluarga ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

“Melalui Program Sulung ini, pelajar akan diberi bantuan daripada segi kewangan, di mana pelajar yang berkelayakan akan menerima pengecualian pembayaran yuran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN