Tanaman harumanis di empat negeri

Tanaman harumanis di empat negeri

NOR Sam Alwi (kanan) meninjau salah sebuah reruai selepas menyempurnakan Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selain Perlis yang sinonim dengan harumanis, empat negeri dijangka mengusahakan tanaman buah berkenaan secara lebih terancang bagi membantu meningkatkan pengeluaran bekalan buah tersebut yang mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, empat negeri terlibat ialah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor namun pada masa ini mereka belum membuat pengeluaran mempelam harumanis itu secara serius bagi tujuan komersial sebagaimana dilakukan Perlis.

Katanya, pengeluaran buah berkenaan dari empat negeri tersebut dilihat sebagai langkah yang baik dalam memperbanyakkan bekalan untuk pasaran domestik.

“Pengeluaran harumanis di Perlis sendiri tidak mencukupi untuk tampung permintaan yang tinggi. Buat masa ini, empat negeri itu masih di peringkat mengenal inventori tanaman berkenaan.

“Jika nampak potensi untuk komersial mungkin akan dilaksanakan Program Pembangunan Tanaman Mangga Harumanis secara lebih terancang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di sini, semalam.

Setakat ini, keluasan tanaman harumanis di Perlis telah mencapai sehingga 1,745.79 hektar manakala kawasan berhasil pula telah mencecah 1,611.59 hektar berbanding keluasan seluruh kawasan penanaman mangga Malaysia iaitu 4,415.28 hektar.

Pengeluaran harumanis Perlis tahun ini merekodkan sebanyak 2,022 tan metrik dengan nilai RM46.513 juta yang melibatkan seramai 2,693 petani.

Dalam pada itu, Nor Sam berkata, bekalan harumanis yang ditanam di empat negeri berkenaan juga dapat membantu sekiranya buah tersebut ingin dikomersialkan bagi tujuan eksport.

“Apa yang penting ialah waktu buah itu ingin dituai, cuaca di negeri-negeri berkenaan haruslah panas kerana itulah yang menentukan kualiti kemanisannya,” katanya.

Di samping itu, Nor Sam berkata, sekiranya negeri-negeri terlibat berjaya untuk mengkomersialkan buah tersebut, penjenamaannya juga dilihat perlu diseragamkan semula bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong luar.

Katanya, Jabatan Pertanian sememangnya memberi fokus terhadap keterjaminan makanan khususnya dalam memastikan buah berkenaan mempunyai bekalan mencukupi untuk dinikmati oleh semua pihak.

“Kalau kita berdepan kekangan tertentu, mungkin kita perlukan bantuan negeri-negeri lain untuk memperbanyakkan bekalan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, Perlis bersedia untuk memberikan khidmat nasihat buat mana-mana negeri yang berminat untuk mengusahakan tanaman harumanis.

“Kerajaan negeri turut berusaha bagi meningkatkan hasil pengeluaran pada setiap musim susulan permintaan yang cukup tinggi. Dalam menghadapi situasi perubahan iklim pula, kerajaan negeri juga akan mengambil langkah persediaan untuk bersama agensi-agensi berkaitan dalam merealisasikan sebarang pelaksanaan untuk menghadapi keadaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya