KOTA KINABALU: Kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan laluan utama dari Tamparuli ke Kiulu terputus menyebabkan pengusaha pelancongan mengalami kerugian lebih RM200,000.
Pembatalan tempahan terpaksa dilakukan bagi pelancong yang ingin melawat pusat eko-pelancongan di Kiulu.
Ahli Dewan Undangan Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tindakan memperbaiki segera jalan yang terputus itu sedang dilakukan dan beliau sendiri telah berhubung dengan Menteri Kerja Raya Sabah mengenai perkara itu.
Katanya, kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kerja-kerja pembaikan Jalan Tamparuli-Kiulu itu akan mengambil masa lebih dua minggu kerana keadaan mendapan yang agak serius.
“Memandangkan ejen pelancongan telah kategorikan kawasan itu sebagai kawasan berisiko tinggi kejadian tanah runtuh maka, ia akan memberi impak ketara kepada industri pelancongan di Kiulu,” katanya semasa melawat kawasan tanah runtuh di Jalan Tamparuli-Kiulu, di sini semalam.
Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku agak membimbangkan dan mampu memberi kesan kepada ekonomi pengusaha pelancongan setempat.
Hujan lebat baru-baru ini mengakibatkan dua jalan di laluan Tamparuli-Kiulu mengalami kerosakan iaitu Jalan Tamparuli-Kiulu berhampiran Kampung Malangang dan Jalan Kiulu-Lawa Mandau berhampiran Pekan Kiulu.
Joniston turut menyarankan JKR dan syarikat konsesi untuk memantau jalan di Kiulu secara berkala bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya terdapat tanda-tanda potensi tanah runtuh atau mendapan.
“Ini akan membantu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya pelajar terjamin,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Maginggow berkata, beliau bimbang jika kerja-kerja pembaikan mengambil masa yang lebih lama maka, pengusaha pelancongan akan menanggung kerugian yang besar. – UTUSAN