KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, mengakui gembira apabila lagu terbaharunya yang berjudul, Lemah telah mula diputarkan di stesen radio di seluruh negara lebih awal dari tempoh pelancarannya.
Difahamkan lagu yang dikompos oleh penyanyi dan komposer, Hael Husaini itu sepatutnya dilancarkan pada 18 Oktober ini.
Menurut Dayang, pelancaran lagu terbaharunya itu juga secara tidak langsung membuatkan dirinya teruja untuk berkongsi album terbaharunya, Janji.
“Saya sangat teruja dan bersyukur apabila mendapati lagu ini telah mula dimainkan di radio. Terima kasih kepada semua stesen radio yang telah memberikan sokongan ini.
“Saya berharap mereka akan terus memainkan lagu Lemah dan membantu memperkenalkannya kepada lebih ramai pendengar.
“Saya juga tidak sabar untuk berkongsi album terbaru saya yang akan datang dan berharap peminat akan teruja mengenainya,” katanya.
Dalam pada itu, lagu ini turut menampilkan gaya muzik yang moden dan lirik yang puitis, menggambarkan perjalanan emosi yang mendalam.
Lagu terbaharu penyanyi kelahiran Sarawak itu turut mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat yang sudah lama menantikan buah tangan darinya.
Sementara itu, penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu juga gembira gembira apabila mengetahui bahawa pra-pesanan untuk album terbarunya, Janji, telah habis dijual sekaligus membuktikan album tersebut menerima sambutan yang luar biasa daripada peminatnya.
Dayang bagaimanapun mengakui bahawa sokongan daripada peminat dan stesen radio adalah penting untuk kejayaannya.
Penyanyi itu juga berharap agar semua peminat akan terus menantikan pelancaran rasmi lagu Lemah pada 18 Oktober ini.-UTUSAN