Tak sampai sebulan, tiga kali keluar masuk PPS - Utusan Malaysia

Tak sampai sebulan, tiga kali keluar masuk PPS

SEORANG penduduk termenung di hadapan rumahnya yang dinaiki air sekali lagi ekoran banjir di Kampung Kubang Betong, Changlun di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Dalam tempoh tidak sampai sebulan, penduduk di beberapa buah kampung di Changlun, di sini terpaksa menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali akibat banjir.

Rata-rata mereka yang ditemui mengakui agak letih berdepan situasi itu setelah masing-masing baru selesai mencuci rumah akibat dua kejadian banjir sebelum ini.

Menurut penduduk Kampung Nang Mah, Azizah Wahab, 46, dia bersama lima anaknya terpaksa berpindah ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun kira-kira pukul 4 pagi ini berikutan kawasan rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.  

“Ini kali ketiga saya bersama keluarga berpindah ke sini. Bukan kami tak pernah berpindah ke PPS pada tahun-tahun sebelum ini tetap kali ini keadaannya lebih teruk dan meletihkan.

“Kali pertama kami berpindah ke sini pada 19 September lalu selama empat hari, diikuti 27 September lalu selama tiga hari. Hari ini, kami kembali sekali lagi ke SMK Changlun akibat banjir dalam tempoh tidak sampai seminggu.

“Sudah dua kali kami cuci rumah tetapi kali ini nampak lebih teruk dengan paras air juga lebih tinggi. Mujur saya masih belum turunkan barang-barang yang diletakkan di tempat tinggi sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam kata Azizah, hujan lebat yang berlarutan sejak tengah hari telah menyebabkan paras Sungai Laka di belakang rumahnya meningkat sebelum air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 7 petang.

“Biasanya setiap tahun paling banyak pun kami hanya berpindah dua kali saja ke PPS akibat banjir tetapi kali ini dalam tempoh tak sampai sebulan, sudah tiga kali kami berpindah ke PPS,” katanya.  

Sementara itu, penduduk Kampung Paya Nongmi, Md. Zain Dan, 59, mengakui agak perit untuk dia berpindah ke PPS buat kali ketiga semalam setelah rumahnya pada tahun-tahun sebelum ini tidak pernah dinaiki banjir.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kemudahan di PPS termasuk makanan dan minuman sentiasa mencukupi terutama bagi memenuhi keperluan ibunya, Jamaliah Bakar, 78.

“Semalam air yang turut membawa lumpur naik agak deras bermula pukul 9 malam menyebabkan kami terpaksa berpindah ke sini. Rumah pun belum sempat cuci sepenuhnya lagi, tiba-tiba dilanda banjir kali ketiga menyebabkan kami sekali lagi perlu ke PPS,” katanya.  

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, seramai 154 individu daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS tersebut setakat pukul 12 tengah hari ini.

Katanya, kesemua mereka merupakan penduduk di lapan buah kampung iaitu Kampung Belakang Sekolah Dato Kemara; Kampung Kubang Kayu; Kampung Paya Lantau; Kampung Belukar; Kampung Bendang Tok Leh; Kampung Padang Halban; Kampung Nang Mah dan Kampung Paya Nongmi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya