SHAH ALAM: Pihak berkuasa digesa tidak perlu mengenakan tahanan dan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pimpinan dan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Malah, siasatan juga hendaklah dilakukan dengan adil dan telus serta membenarkan mereka termasuk yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis menggunak hak untuk membela diri.
Salah seorang barisan peguam mewakili GISBH, Rosli Kamaruddin berkata, anak guamnya bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan polis dan tidak perlu mengenakan tindakan dibawah undang-undang keselamatan.
Menurutnya, GISBH adalah pertubuhan berkaitan perniagaan dan dakwah serta tidak mempunyai sebarang aktiviti dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang atau pengganas yang mengancam keselamatan negara.
“GISBH akan beri kerjasama. Saya berpendapat tidak perlu suatu tahanan seperti yang
telah berlaku berulang kali. Tahanan berulang kali ini ada yang sampai mencecah lebih 20 hari dan kemudian ada yang ditahan bawah SOSMA 28 hari dan selepas ini bergantung kepada keputusan pendakwaan.
“GISBH merayu bahawa tidak perlulah undang-undang keselamatan digunakan terhadap mereka kerana mereka bukanlah kumpulan pengganas. Tanganilah kes GISPH ini dengan aman,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelas Rosli, jika siasatan itu berkaitan dengan akidah yang didakwa terpesong daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), biarlah perkara itu disiasat oleh pihak berkuasa agama setiap negeri.
“Jika ada kes jenayah berlaku dalam mana-mana komuniti mereka, siasat dan tuduhlah,” tegasnya.
Terdahulu, seramai 415 pemimpin dan pengikut gerakan GISBH ditahan polis dalam serbuan besar-besaran, Op Global yang dilakukan sejak 19 September lalu, sementara 35 lagi sehingga kini masih direman.
Daripada jumlah tersebut, seramai 58 orang ditahan di bawah SOSMA dengan 16 tangkapan baharu bawah akta tersebut dibuat pada 10 Oktober lalu.
Sementara mangsa yang diselamatkan pula adalah seramai 620 orang melibatkan bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa berusia dua bulan hingga 28 tahun yang mana 553 daripada mereka ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 77 lagi diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Dalam pada itu, Rosli turut memaklumkan pihaknya sudah pun menghubungi Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) (Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman) dua hari sebelum Op Global sebagai kerjasama awal pihaknya kepada polis.
“Sebelum tahanan besar-besaran sebenarnya pegawai-pegawai kanan memberi arahan kepada saya sebab ada yang dihubungi oleh pegawai AMLA Bukit Aman, dan saya sudahpun menghubungi unit AMLA Bukit Aman untuk memberikan kerjasama sesiapa yang mereka perlukan untuk soal siasat.
“Kerana saya terima arahan untuk membawa mereka yang ingin disiasat. Tetapi, saya dimaklumkan bahawa, arahan untuk memanggil mereka itu ditangguhkan dan kemudian berlaku tangkapan besar-besaran,” jelasnya. – UTUSAN