ALOR SETAR: Desakan supaya Malaysia menghantar pulang kesemua rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di negara ini disebabkan kekecohan ditimbulkan sekumpulan individu di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) merupakan gesaan tidak masuk akal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara yang lebih penting ketika ini adalah mencari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh diguna pakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini.
Katanya, tiada sesiapa pun boleh membuat kesimpulan bahawa semua rakyat Palestin bersikap sedemikian serta mencari salah pihak tertentu berhubung insiden terbabit.
“Rakyat Palestin itu adalah individu yang tercedera serta ahli keluarga mereka. Kita bawa mereka ke sini dan berikan rawatan sebagai tanda kemanusiaan kita.
“Jadi apabila insiden ini tercetus, rakyat Malaysia tidak harus ada tanggapan umum mengenai sikap mereka dan mendesak supaya dihantar balik. Negara mereka sedang berperang dan hancur. Tak masuk akal untuk kita desak hantar mereka balik kerana hanya insiden begini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Townhall Pelajar Bersama Menteri Dalam Negeri Sempena Minggu Suai Kenal Semester Pertama Sesi 2024/2025 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Rabu lalu, sekumpulan warga Palestin bertindak secara kasar dengan merosakkan perhiasan di WTKL selain dilaporkan membaling selipar kepada pengawal.
Kejadian itu tular di media sosial sehingga Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali turut menyatakan rasa kesal terhadap insiden itu selain menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, insiden itu dipercayai berlaku kerana segelintir daripada warganegara Palestin itu tidak berpuas hati disebabkan pergerakan mereka dihadkan setelah lama tinggal di pusat transit.
“Di pihak kementerian, pas dikeluarkan kepada mereka untuk tinggal di sini adalah khas untuk menerima rawatan. Jadi secara logiknya, tak akan kita nak biarkan mereka tinggal merata-rata.
“Tetapi mungkin kerana sudah terlalu lama mereka di sini, mereka rasa tak betah untuk berada di satu tempat dan berhasrat supaya dibenarkan untuk bergerak di kawasan lebih luas,” katanya.
Sebagai jalan penyelesaian katanya, kementeriannya telah mengadakan perbincangan untuk menilai semula pengeluaran pas bersesuaian, mengikut undang-undang sedia ada.
“Kita telah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan pada masa depan. Di bawah Akta Imigresen, ada pelbagai pas dengan kita turut membenarkan sejumlah rakyat Syria datang ke sini ketika kemuncak perang di negara itu dulu.
“Rakyat Syria itu berada di sini untuk tempoh tiga atau empat tahun dan hingga kini, masih ada yang tinggal di sini. Jadi kita akan lihat pas yang bersesuaian untuk tujuan itu,” katanya. – UTUSAN