'Syukur, berterima kasih sudi maafkan isteri saya' - Utusan Malaysia

‘Syukur, berterima kasih sudi maafkan isteri saya’

SUAMI kepada wanita yang merempuh dua motosikal sehingga mengakibatkan pelajar UiTM Kampus Dungun maut, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : “Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga kesemua mangsa yang berlapang dada sudi memaafkan isteri saya walaupun ujian ini terlalu berat.”

Itu luahan suami kepada wanita yang disyaki merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Rabu lalu.

Lelaki berusia 53 tahun itu berkata, dia juga telah bertemu dan menzahirkan permohonan maaf kepada ibu dan bapa penuntut yang terselamat dalam insiden itu, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, kira-kira pukul 9 malam tadi berhampiran penginapan keluarga itu.

“Semalam, bila saya dapat tahu Muhammad Ammar Danish dapat keluar dari wad hari ini, saya terus bergegas mencari ahli keluarganya kerana bimbang tidak sempat bertemu mereka.

“Alhamdulillah, saya telah bertemu dengan ibu dan bapa Muhammad Ammar Danish dan mereka menyambut saya dengan sangat baik serta memaafkan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia juga turut bertemu dengan Muhammad Ammar Danish di Hospital Dungun, sebelum dia dibawa pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Bapa kepada tiga anak dan memiliki empat orang cucu itu berkata, dia juga berterima kasih kepada keluarga Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, serta Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang sudi memaafkan isterinya.

“Saya faham kesemua ahli keluarga perlu diberikan ruang untuk bertenang kerana ujian ini sungguh berat.

“Saya akan menunggu masa yang sesuai dan berusaha untuk bertemu mereka. Saya kesal dengan kejadian ini, namun apa yang berlaku memang bukan kehendak saya dan isteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya