'Syukur anak saya stabil' - bapa - Utusan Malaysia

‘Syukur anak saya stabil’ – bapa

MOHAMMAD Ridhuan Mohd. Shariff dan Siti Asiah Abdullah Sani bersyukur anaknya, Muhammad Ammar Danish terselamat dalam kemalangan meragut tiga nyawa tiga pelajar UiTM Kampus Dungun, Rabu lalu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Bapa kepada pelajar yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar lain selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV, Rabu lalu, bersyukur selepas melihat anaknya berada dalam keadaan stabil di Hospital Dungun, di sini, semalam.

Mohammad Ridhuan Mohd. Shariff, 52, berkata, dia tiba di Hospital Dungun dari Keramat, Kuala Lumpur sekitar pukul 4 pagi, semalam, bersama isteri sebaik menerima panggilan daripada pihak universiti.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, hatinya bercampur baur ketika menerima berita kemalangan menimpa anaknya, Muhammad Ammar Danish, 20, namun tetap menguatkan semangat untuk mengetahui keadaan sebenar anaknya itu.

“Kebetulan saya sampai di hospital, anak saya, Muhammad Ammar Danish baru keluar dari bilik bedah dengan berpakaian berlumuran darah, namun dalam keadaan stabil.

“Saya dan isteri, Siti Asiah Abdullah Sani, 48, terus memberi kata-kata semangat kepadanya dan kami bersyukur dia membawa semangat itu untuk melawan rasa sakit.

“Cuma anak masih trauma setiap kali terbangun daripada tidur, teringatkan tiga rakannya yang maut kerana kejadian berlaku di depan matanya sehingga dia tercampak ke dalam longkang.

“Kami tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya menyerahkan kepada pengurusan UiTM dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Siti Asiah pula, dia bersyukur dapat melihat sendiri keadaan Muhammad Ammar Danish setelah pelbagai berita tidak sahih diterima dan dibaca melalui media sosial serta jiran-jiran di Kuala Lumpur.

Wanita itu berkata, dia mengarahkan anak-anak yang lain supaya mengendahkan serta tidak melayan komen di media sosial mengenai kejadian itu sehingga tiba di Dungun.

“Kalau dibaca di media sosial, ada yang mendakwa empat orang mangsa meninggal dunia, ada yang mengatakan mangsa kritikal dan sebagainya, jadi saya pesan agar tidak layan media sosial dahulu.

“Apa pun saya bersyukur Muhammad Ammar Danish terselamat dan akan terus memberi semangat kepadanya dan kami berterima kasih kepada semua yang mendoakan anak kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya