LANGKAWI: Meskipun mengalami cedera ringan akibat terjatuh ketika disiplin berbasikal, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dapat menamatkan saingan dalam Ironman Malaysia yang disertainya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau tidak serik dan berhasrat untuk kembali menyertai kejohanan triatlon itu pada tahun hadapan selepas mencatatkan masa 13 jam 13 minit, tahun ini.
Katanya, ketika insiden itu, hujan lebat dengan ribut kuat sehingga menyebabkan pokok tumbang berlaku di lokasi tersebut.
“Saya sedang menuruni bukit dengan kelajuan mencecah 33 kilometer sejam, saya nak elak pokok tumbang yang tutup satu jalan, bila saya nak ke kanan ada penunggang basikal lain dan kereta yang lalu jadi berlaku pelanggaran itu.
“Tidak ada kecederaan sehingga patah cuma lebam, darah itu biasa dan walaupun hilang 30 minit saya dapat bangun semula untuk tamatkan perlumbaan empat jam sebelum masa penamat,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Fernando Toldi dari Brazil merangkul kejuaraan bagi kategori atlet profesional lelaki selepas menamatkan disiplin renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal (180km) dan larian (42.2km) dengan catatan masa lapan jam 10 minit dan 23 saat.
Atlet dari Australia, Regan Hollioake pula mengambil masa selama sembilan jam, 13 minit dan tujuh saat untuk mengungguli kategori atlet profesional wanita.
Toldi yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia menyatakan kemenangannya kali ini adalah seperti mimpi kerana keadaan cuaca panas yang menjadi halangan utama baginya sepanjang kejohanan.
“Disiplin renang agak sukar, kerana saya perlu lebih fokus untuk berada di hadapan, tetapi ada peserta lain yang telah keluar daripada air dahulu.
“Tetapi saya ada pertukaran yang pantas jadi saya dapat memulakan disiplin basikal dengan peserta teratas, saya banyak bermain dengan minda saya dan bertuah kerana ada lebih tenaga pada disiplin larian,” katanya.
Sementara itu, Hollioake memberitahu, ini merupakan tahun pertama dia bergelar atlet profesional dan menjejakkan kaki ke Langkawi.
“Ini mungkin perlumbaan paling sukar yang pernah saya sertai tetapi saya sangat gembira dengan kemenangan ini,l walaupun perlumbaan ini sangat sukar seperti saya jangka,” katanya. – UTUSAN