Syed Saddiq perjelas mengapa tolak RUU kewarganegaraan

Syed Saddiq perjelas mengapa tolak RUU kewarganegaraan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan tiga sebab mengapa menolak pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Hanya seorang Ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 206 ahli Parlimen setuju dengan 14 tidak hadir, sementara seorang lagi tidak hadir kerana digantung selepas diadakan undian belah bahagian.

Syed Saddiq melalui video di platform media sosial berkata, beliau melahirkan kebimbangan bahawa pindaan itu akan menghapuskan perlindungan yang diberikan kepada kumpulan paling rentan iaitu kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan tetapi dilahirkan dan dibesarkan di negara ini.

“Pertama sekali, kerana ada lebih 120 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan 84 individu berpengaruh yang telah mendedikasikan berdekad-dekad masa mereka untuk mempertahan golongan rentan, yang paling khusus iaitu kanak-kanak.

“Mereka telah pun menyampaikan kegusaran mereka terhadap pindaan perlembagaan ini kerana kanak-kanak yang paling berisiko, yang akan teruk terkesan apabila perlindungan diberikan perlembagaan ke atas mereka akan dirampas melalui pindaan perlembagaan ini.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada pakar-pakar yang telah pun mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan kajian mereka,” katanya dalam video berkenaan.

Semalam, Dewan Rakyat menempa sejarah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.

Pindaan itu penting susulan pelbagai isu membabitkan pemohon yang mahu mendaftar kewarganegaraan terpaksa menunggu lama, malah ada yang sehingga puluhan tahun berikutan halangan dan kekangan beberapa peruntukan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Sebab kedua, kata Syed Saddiq ialah pindaan ini akan menyebabkan kanak-kanak menjadi golongan paling berisiko dan terkesan.

“Pada hari ini kita lihat ada puluhan ribu kes, yang mana rakyat Malaysia yang dilahirkan di sini, dibesarkan di sini, bersekolah di sini, bekerja di sini, nak tutup mata, mati pun di sini, tapi sampai ke hari ini, kerana masalah birokrasi, masalah pentadbiran dan dokumentasi, mereka dinafikan hak untuk jadi warga negara Malaysia.

“Tetapi walaupun mereka dinafikan hak, Perlembagaan kita agak unik. Perlembagaan kita memberikan perlindungan kepada anak-anak mereka untuk diberikan hak kerakyatan. Dengan pindaan perlembagaan ini, hak kerakyatan yang wajib diberikan kepada anak-anak mereka akan dirampas semula.

“Ini anak-anak kumpulan paling rentan, paling berisiko, paling susah, miskin, mereka tidak ada connection, mereka tidak boleh diberikan kewarganegaraan, jadi saya benar-benar bersimpati dengan perjuangan mereka,” katanya.

Kata Syed Saddiq sebab ketiga ialah isu tersebut menurutnya melangkaui pentadbiran Menteri Dalam Negeri memandangkan is itu berkait rapat dengan perlindungan yang diberikan Perlembagaan sebelum ini. 

“Tetapi apabila perlindungan dirampas, ini akan memberikan impak bagi dekad-dekat datang yang melangkaui pentadbiran mana-mana parti dan kerajaan. Sebab itu saya fikir kita perlu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada perlindungan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN