PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) membatalkan serta-merta syarat log masuk ke dalam MyJPJ menggunakan MyDigital ID yang sepatutnya berkuat kuasa mulai 10 Oktober ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, syarat log masuk itu digugurkan selepas mendengar keluh kesah daripada orang ramai yang mendakwa sukar mengisi butiran mereka dalam akaun MyDigital ID.
Beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan supaya pesanan ‘pop-up’ mengenai arahan log masuk itu diturunkan serta-merta.
“Saya nak tegaskan belum ada pengumuman rasmi daripada MOT mengenai arahan itu. Bagaimanapun, arahan itu dilihat mengelirukan orang ramai.
“Selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, saya bincang dengan pihak MyDigital ID bersetuju supaya usaha log masuk menggunakan ID tunggal itu akan dibuat secara ‘back- end’ (dalaman) menerusi sistem,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya telah mencapai persetujuan bahawa penggunaan log masuk MyJPJ boleh digunakan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Loke berkata, proses integrasi itu dijangka mengambil masa dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa selain memastikan urusan log masuk itu lebih memudahkan pelanggan pada masa depan.
Menurutnya, buat masa ini, sebanyak 10.5 juta akaun berdaftar dengan MyJPJ dan antara aplikasi kerajaan yang mempunyai pendaftaran pengguna paling tinggi.
“Susulan itu, My Digital ID memilih MyJPJ sebagai antara aplikasi awal untuk diintegrasikan dengan sistem ID tunggal itu,” katanya.
Katanya, arahan atau ‘pop up’ itu pada awalnya bukan masalah teknikal, namun dinaikkan tanpa perbincangan dengan pihak kementerian.
Sebelum ini, timbul kesukaran dalam kalangan pengguna aplikasi MyJPJ dan mereka mendakwa sukar mengisi butiran mereka dalam akaun MyDigital ID.
Kenyataan itu menulis ‘Log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober 2024. Sila laksanakan pendaftaran di aplikasi MyDigital ID dengan kadar segera untuk mengelakkan sebarang kesulitan log masuk’. – UTUSAN