Syarat kelayakan mohon lesen B penuh dilonggar serta-merta

Syarat kelayakan mohon lesen B penuh dilonggar serta-merta

Ramai yang memohon lesen B penuh tetapi tidak lepas syarat Jabatan Pengangkutan Jalan. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas menerima reaksi pelbagai daripada orang ramai, Kementerian Pengangkutan (MOT) akhirnya akur dan melonggarkan salah satu syarat kelayakan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya bersetuju supaya syarat memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 hanya perlu aktif dan mencukupi tempoh 10 tahun ke atas sahaja.

Berbanding sebelum ini, katanya, pihaknya menetapkan individu dikenakan syarat memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.

“Syarat itu dilonggarkan serta-merta dan orang ramai boleh membuat semakan semula di aplikasi MyJPJ. Namun, proses itu akan ambil masa disebabkan perubahan dalam sistem.

“Syarat itu dilonggarkan ekoran keluhan orang ramai yang mendakwa tidak layak menyertai program itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, mengambil kira maklum balas daripada orang ramai, perkara itu dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ dan bersetuju memudahkan lagi syarat itu.

Loke berkata, antara sebab yang dibangkitkan orang ramai adalah munasabah iaitu lesen tidak dapat diperbaharui ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Ketika itu, kerajaan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam dan tunggakan saman.

Jelasnya lagi, kemaskini syarat sentiasa dilakukan pada masa depan agar lebih ramai pemohon berjaya dan mendapat manfaat dari program itu.

Selain itu, Loke berkata, pihaknya memohon kesabaran orang ramai sementara pihaknya mengemaskini sistem susulan kelonggaran syarat itu.

“Namun, bagi mereka yang ingin mengikuti program itu mereka boleh terus ke institusi latihan memandu jika melepasi kelonggaran kelayakan baharu itu,” katanya.

Sebelum ini, JPJ menetapkan tiga syarat utama bagi program itu iaitu warganegara Malaysia manakala kedua, memiliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan.

Semakan kelayakan boleh dibuat di aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my); atau kaunter JPJ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN