SEREMBAN: Lelaki pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dipercayai menikam bapanya dalam kejadian di Kampung Senaling, di sini, semalam merupakan seorang anak yang baik malah turut cemerlang dalam pelajaran semasa di sekolah.
Perkara itu dikongsikan kenalan keluarga ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.
Menurut beliau, perkara itu juga mengejutkan mereka kerana tidak pernah kejadian seumpama itu berlaku lebih-lebih lagi hubungan kedua-dua beranak itu baik.
“Dia (suspek) sangat baik dan dia sangat sayang ayahnya. Dia dari kecil bersama kembar tidak seirasnya juga merupakan pelajar cemerlang.
“Cuma semasa di universiti, dia alami tekanan menyebabkan dia tidak menghabiskan pengajian.
“Difahamkan, kedua-dua beranak ini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Senaling selepas proses bedah siasat siap lewat petang ini,” katanya.
Ujarnya lagi, dia sangat berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang andaian buruk berhubung kejadian berkenaan kerana pihak keluarga juga sangat terkesan dengan kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, polis mendapat makluman dari orang awam kira-kira pukul 4.40 petang membabitkan seorang pesara guru berusia 65 tahun maut dipercayai ditikam anak lelakinya berusia 32 tahun ketika memujuk anaknya yang mengalami halusinasi serta cuba membunuh diri.
Anaknya itu, kemudian ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri. – UTUSAN