PETALING JAYA: Sunway Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya Sunway Melawati Sdn. Bhd., memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Viva Impian Sdn. Bhd. (VISB) untuk memperoleh sebidang tanah pegangan bebas utama seluas 17.58 ekar di Taman Taynton, Cheras, dekat sini pada harga RM320 juta.
Cadangan pengambilalihan tanah terletak secara strategik bersebelahan dengan pembangunan kediaman Sunway Alishan.
Petak tanah itu diperuntukkan untuk pembangunan guna bercampur, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.2 bilion.
Sunway dalam kenyataan berkata, pembangunan yang dicadangkan itu akan digabungkan dengan apartmen servis mewah yang menawarkan pengalaman gaya hidup bandar moden yang unik bersertakan podium runcit yang bertumpukan kepada kesihatan dan kesejahteraan, termasuk klinik kesihatan dan kesejahteraan.
“Selaras dengan komitmen berterusan Sunway Property terhadap kelestarian, projek ini akan berlaraskan penggunaan reka bentuk Sunway Design and Development Architecture (SDDA) sebagai falsafah reka bentuk utama, yang menawarkan kelestarian, inovasi, kesihatan dan kesejahteraan serta gaya hidup dan pengalaman baru yang tiada tandingan untuk komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pengambilan tanah yang dicadangkan ini merupakan peluang yang menarik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan bersepadu berkualiti tinggi di Kuala Lumpur.
“Visi kami adalah untuk mewujudkan ruang komuniti holistik yang berpusat kepada kesejahteraan yang memenuhi keperluan gaya hidup bandar moden yang semakin berkembang.
“Kami yakin pembangunan ini akan mencetuskan dan meningkatkan pertumbuhan di kawasan sekitarnya,” katanya.
Terletak di lokasi yang strategik dengan kemudahan akses langsung dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dihubungkan terus ke lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Shah Alam (KESAS) Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat dan Lebuhraya Maju (MEX).
Tapak ini terletak 500 meter dari hentian bas, teksi Ekocheras, 800 meter dari stesen MRT Taman Mutiara, 5 km dari stesen LRT Cheras dan 6.3 kilometer (Km) dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Selain itu, Sunway Property akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa perancangan bagi memastikan pembangunan ini memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, keselamatan, dan tanggungjawab alam sekitar.
Usaha baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan Sunway Property sebagai peneraju dalam pembangunan bandar inovatif dan mampan, meneruskan legasinya dalam membina komuniti yang berkembang maju dan berdaya tahan sepanjang masa. – UTUSAN