Sultan Nazrin titah isu GISBH ditangani hingga akar umbi - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin titah isu GISBH ditangani hingga akar umbi

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan isu berkaitan gerakan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan ajaran sesat di negeri ini ditangani hingga akar umbi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu antara yang dititahkan Sultan Nazrin semasa beliau menghadap baginda pada Isnin lalu.

Saarani berkata, Sultan Nazrin bertitah, isu GISBH dan ajarah sesat di negeri ini perlu memberi penekanan yang serius kerana ia melibatkan akidah umat Islam.

“Semalam (Isnin) saya telah persembahkan kepada Tuanku laporan yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Ia bukan sahaja berkaitan GISBH tetapi juga unsur-unsur bagi ajaran sesat.

“Tuanku akan mengambil tindakan untuk memanggil Mufti dan JAIPk bagi mengambil tindakan berikutnya kerana kita di Perak mempunyai Jawatankuasa Fatwa Negeri yang akan bersidang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Perak di temasya Sukma Sarawak kali ke 21 di sini semalam.

Menurut Saarani, tindakan lanjut dalam isu tersebut termasuk aspek pemulihan terhadap ahli dan pengikut perlu dilaksanakan.

Katanya, ia akan melibatkan Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Isu ini perlu ditangani sehingga akar umbi. Kita akan buat yang terbaik kerana sebahagian besar mereka yang mengikuti ajaran sesat tersebut diluar sedar,” katanya.

Sebelum ini, Saarani memberitahu beliau mendapat perkenan Sultan Perak untuk menghadap dan menyembah maklum perkembangan isu GISBH di negeri ini.

Ia selepas hasil laporan terperinci termasuk operasi dan tangkapan disediakan JAIPk yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya