Sultan Nazrin berkenan lancar buku silibus usrah, buku teks JAIPk

Sultan Nazrin berkenan lancar buku silibus usrah, buku teks JAIPk

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan Buku Silibus Usrah Badar Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Buku Teks Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (Aiman) di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan dua buku keagamaan iaitu Buku Silibus Usrah Badar Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Buku Teks Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (Aiman).

Dua buku itu dilancarkan hari ini oleh baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam (MAKPI) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1446H / 2024M.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis tersebut yang diadakan di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi di sini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Buku Silibus Usrah Badar JAIPk adalah panduan komprehensif bagi membina asas keagamaan menggunakan pendekatan interaktif yang mudah difahami dengan membawakan tema-rema utama dalam bidang tauhid, fekah, tafsir, hadis, tajwid, akhlak dan sirah.

Buku itu mula dibangunkan pada 2011 di bawah seliaan Bahagian Pendidikan JAIPk dengan kerjasama Mursyid Badan Dakwah dan Rohani (Badar) JAIPk.

Buku Teks Aiman pula membabitkan pembelajaran tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 yang fokus kepada latihan amali berkaitan amalan-amalan fardu ain dan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah dan sembelihan haiwan.

Buku itu hasil kerjasama antara agensi membabitkan JAIPk, Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Pembelajaran Aiman dilaksanakan di sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih di seluruh Perak yang turut mendapat sumbangan daripada masjid-masjid berdekatan.

Dalam program sama, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 20 anugerah membabitkan 107 penerima termasuk Anugerah Tokoh Pendidik kepada Madihah Mohamad, 63, bekas Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah.

Antara anugerah lain yang disampaikan oleh baginda ialah Anugerah Penyelia Terbaik Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); Anugerah Guru serta Guru Tadika Terbaik KAFA; Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak; Anugerah Hafiz dan Hafizah Muda.

Selain itu Anugerah Pelajar Terbaik bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Thanawi, I’dadi, Sijil Rendah Agama Islam (SRAI); dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK); Anugerah Sekolah Terbaik Pengurusan KAFA; dan Anugerah Sekolah Terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya