Sultan Mizan rasmi program labuh tukun tiruan - Utusan Malaysia

Sultan Mizan rasmi program labuh tukun tiruan

SULTAN Mizan Zainal Abidin melakukan selaman untuk meninjau tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda yang dilabuhkan di perairan Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu Rekreasi di perairan Marang di sini, hari ini.

Baginda meletakkan plak perasmian pada tukun yang berada di dasar laut di perairan Alur Tuman dengan kedalaman kira-kira 17 meter.

Dalam program tersebut, sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda dilabuhkan di perairan Marang di sekitar jarak empat hingga lima batu nautika dari pantai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, tukun tiruan itu direka dengan ciri-ciri khas untuk menghalang pencerobohan vesel haram pukat tunda dengan membuatkan tali atau pukat mereka tersangkut apabila melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, ia adalah sebahagian inisiatif yang dilakukan untuk membuatkan nelayan dan vesel haram serik menunda di kawasan larangan itu kerana mengakibatkan kerugian besar kepada mereka.

“Tukun yang dilaburkan hari ini adalah sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini melalui Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu.

“Sebelum ini, 20 unit tukun telah dilabuhkan di setiap tapak sekitar perairan Kuala
Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus dengan jumlah kos projek berjumlah RM3.1 juta.

“Ia adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024,” katanya.

Tambahnya, tukun tiruan yang berada di dasar laut bertujuan menyamai habitat terumbu karang asli yang berfungsi untuk melindungi, memulih, mengumpul dan memperkaya populasi sumber perikanan.

“Program ini akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya buat 8,635 nelayan dan menjadi sebahagian usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya