PETALING JAYA: Tiada jaminan bahawa gagasan BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) selama-lamanya akan menjadi gabungan pelaburan dan perdagangan semata-mata selepas agendanya kini lebih menyeluruh meliputi ekonomi, sosial dan kewangan.
Pada masa sama, agenda BRICS turut memberi keutamaan terhadap pertimbangan politik dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan sejarah, gagasan BRICS mula mendapat perhatian penganalisis ekonomi dan akademik pada awal abad ke-21.
Katanya, negara-negara menyertai gagasan tersebut mempunyai populasi tinggi iaitu kira-kira 3.26 bilion atau 45 peratus penduduk dunia yang menyumbang kira-kira AS$27.65 trilion atau 26.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
“Pada awalnya, BRICS bukanlah sebuah organisasi yang formal dan negara-negara ini mempunyai pendirian serta fokus ekonomi tersendiri. Kebelakangan ini, sebagai usaha menangani isu-isu ketegangan ekonomi dan geopolitik dihadapi oleh sebilangan negara BRICS, gagasan ini mula bersuara sebagai satu pertubuhan antara kerajaan yang lebih formal.
“Berdasarkan kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi untuk diterima sebagai calon ahli baharu termasuk Malaysia, diperhatikan bahawa objektif perluasan gagasan BRICS pada masa ini dilihat tertumpu kepada usaha untuk memperkukuhkan peranan negara anggota asalnya.
“Bagi mengimbangi pengaruh dan dominasi kuasa ekonomi Barat ke atas perdagangan dunia, badan-badan kewangan global yang penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
“Sebagai contoh, Malaysia dipinta untuk menyokong keanggotaan Brazil sebagai Ahli Tetap dalam Suruhanjaya Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan V. Ganabatirau (PH – Klang) di Parlimen semalam, yang bertanya adakah kerajaan boleh menjamin bahawa keanggotaan BRICS selama-lamanya kekal sebagai pakatan berasaskan pelaburan dan perdagangan.
Menjawab persoalan itu, Tengku Zafrul berkata, sukar untuk memberi jaminan bahawa BRICS akan hanya menumpukan kepada pelaburan dan perdagangan semata-mata kerana agendanya kini lebih menyeluruh serta meliputi isu ekonomi, sosial dan kewangan pada masa sama pertimbangan politik masih diberi keutamaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat pelbagai potensi dari segi ekonomi yang boleh diraih oleh Malaysia melalui penglibatan lebih erat dengan gagasan BRICS.
“Antara faedah signifikan boleh dimanfaatkan Malaysia adalah menjadikan BRICS sebagai suatu landasan untuk mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum dan perbincangan dengan negara-negara anggota.
“Penglibatan dalam dialog dan perbincangan ini membuka peluang yang lebih luas kepada Malaysia untuk mempelbagai dan memperkukuhkan hubungan strategik dengan negara-negara anggota BRICS,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga boleh mengambil peluang untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi dengan negara-negara seperti Brazil, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam sektor strategik antaranya industri halal, biodiversiti dan pembangunan mampan.
Menjawab soalan Ganabatirau berhubung pelan tindakan sekiranya gagasan BRICS berkembang menjadi kerjasama ketenteraan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan berpendapat bahawa perkara ini mampu memberikan kesan besar kepada geopolitik global.
“Sehubungan itu, MITI dimaklumkan bahawa pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mengambil beberapa langkah strategik bagi menyesuaikan diri dengan landskap baharu tersebut.
“Jika BRICS beralih kepada kerjasama ketenteraan, ia berpotensi mengubah keseimbangan kuasa antarabangsa, terutama dengan kehadiran negara-negara besar seperti China dan Russia yang memiliki pengaruh ketenteraan yang signifikan,” katanya.
Jelas beliau, pada masa ini, negara-negara BRICS yang mempunyai Kerjasama pertahanan secara dua hala dengan Malaysia adalah Russia, India, China, Afrika Selatan, Mesir dan UAE.
Manakala Brazil, Iran dan Ethiopia masih belum mempunyai kerjasama pertahanan dua hala dengan Malaysia.
“Sebarang bentuk kerjasama pertahanan dengan pakatan BRICS, khususnya yang melibatkan latihan ketenteraan dan penugasan operasi pada masa hadapan adalah tertakluk kepada pendirian dan dasar luar negara yang sedang berkuatkuasa,” katanya. – UTUSAN