SUKAN lasak kebiasaannya sering menjadi hobi para lelaki ataupun wanita yang berperwatakan kasar. Namun, ada juga wanita yang bersifat lemah lembut berani mencabar diri menceburi sukan dan aktiviti lasak.
Seperti penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, meskipun bertubuh ‘genit’ dan lemah lembut peribadinya, dia memilih sukan lasak sebagai hobinya.
“Saya sukakan aktiviti lasak. Waktu sekolah, saya aktif sukan trek dan padang. Kemudian, saya aktif dalam boling tenpin.
“Dan sekarang, saya lebih kepada main badminton pada waktu lapang dan akan datang, saya mahu cuba ceburi sukan ‘motor sport’ dan Muay Thai,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, hobinya itu mampu memberikannya kepuasan buat dirinya selain mengekalkan stamina tubuh badan.
“Sukan lasak dapat memberikan kepuasan dan kegembiraan apabila berjaya memberikan hasil daripada hobi itu. Setiap kali ada waktu lapang, saya akan cari masa untuk bersukan bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merapatkan silaturahim,” jelasnya.
Selain sukan lasak, pemilik lagu Jangan Jangan ini juga gemar menyanyi, menari dan bersolek yang sememangnya tidak lari daripada kerjaya serta perwatakannya yang lemah lembut.
“Saya suka melakukan kesemua itu sejak kecil kerana sudah dibiasakan untuk masuk pertandingan menyanyi dan menari oleh ibu. Saya akan berlatih menyanyi setiap hari dan belajar banyak lagu baru sebagai persediaan untuk show akan datang.
“Cuma, bersolek masih baru kerana saya berada dalam bidang hiburan yang beri saya kenalan dengan ramai jurusolek sehingga menarik minat saya untuk belajar make up sendiri.
“Malah, semua hobi tersebut dekat dengan minat serta hati saya kerana saya boleh melakukannya di mana jua saya berada memandangkan ia tidak jauh dari bidang kerjaya saya,” katanya.
Meskipun sibuk dengan jadual kerja yang padat, Wani mengakui setiap aktiviti yang dia suka lakukan memberikan keseimbangan terhadap kerjaya dan gaya hidupnya.
“Kedua-dua itu seimbang bagi saya. Kerana semuanya sudah saya terapkan minat dari kecil dan tidak menjadi masalah untuk saya fokus kedua-duanya.
“Tetapi, semua itu mencabar apabila saya ada jadual kerja yang sangat padat sehingga saya tiada masa untuk curi waktu untuk bersukan dan rehatkan vokal saya untuk show seterusnya,” ujarnya.
Ingin mengubah perspektif umum mengenai sukan lasak, Wani menganggap aktiviti itu mampu mencabar keupayaan dan kekuatan diri sesetengah wanita.
Malah, dia juga percaya sukan lasak mampu meningkatkan keberanian dan keyakinan diri wanita yang bersifat lemah lembut.
“Pesan saya untuk semua wanita yang takut untuk cuba sukan lasak, kena berani mencuba sesuatu yang baru. Kita tidak tahu keupayaan dan kekuatan diri kita selagi kita tidak mencuba untuk cabar diri kita.
“Tidak semestinya wanita lemah lembut tidak boleh buat sukan lasak. Jika itu yang mampu membuat mereka berani dan yakin untuk menjadi diri sendiri, tidak salah untuk mencuba.
“Lebih-lebih lagi, ilmu ‘martial arts’ untuk mempertahankan diri sangat penting untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.