Sufie Rashid syukur menang saman terhadap bekas rakan niaga - Utusan Malaysia

Sufie Rashid syukur menang saman terhadap bekas rakan niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penganjur konsert, Sufie Rashid meluahkan rasa bersyukur selepas Mahkamah Sesyen di sini, mengarahkan bekas rakan niaga dikenali sebagai Jai membayar ganti rugi berjumlah RM165,000 berhubung tuntutan kes penipuan penganjuran sebuah festival muzik di Sepang, Selangor sekitar dua tahun lalu.

Menurut Sufie atau nama penuhnya Mohammad Sufie Rashid, syarikatnya telah mengalami kerugian sekitar RM1.2 juta berpunca daripada kes penipuan penganjuran konsert di Sepang tersebut.

“Kami sepatutnya mahu anjurkan acara muzik di Malaysia tetapi pihak saya ditipu oleh defandan dan rugi sekitar RM1.2 juta.

“Dalam perjanjian, dia perlu bayar kepada saya sebanyak RM1 juta tetapi kami hanya terima setengah juta saja. Kalau tak mampu, kami beri kelonggaran.

“Untuk adakan acara di sini perlu melibatkan warganegara Malaysia dan individu itu ialah isteri saya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sidang media Aura Ernie Zakri Live in Concert di sini, hari ini.

Tambah Sufie, perkara tersebut memberi impak emosi terhadap isterinya, Nurulain Md. Yusof sehingga mencetuskan rasa takut kerana ada klien yang mencarinya.

“Kes ini memang beri impak besar terhadap kami sehingga ada klien yang mencari isteri saya. Dia juga terlalu risau dan hampir tersekat tidak dibenarkan ke luar negara serta tekanan sehingga takut nak keluar dari rumah.

“Syukur hasil melantik peguam yang bagus, keputusan mahkamah berpihak kepada kami pagi tadi.

“Memang bayaran yang diterima kami tidak balik modal tetapi semua ini untuk memberi pengajaran agar tidak melakukan hal sama terhadap orang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sufie nekad mengambil tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pihak defendan.

Lebih mengecewakan, beberapa perancangan dan penganjuran konsert anjuran syarikatnya, SAH Entertainment tertangguh disebabkan kes tersebut.

“Isu ini ganggu banyak perkara tetapi lega semuanya sudah berakhir. Kau sentuh isteri aku, memang kau akan kena. Sekurang-kurangnya ada pengajaran untuk defendan,” jelasnya.

Dalam pada itu, insiden ini turut membuatkan dia lebih berhati-hati untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menganjurkan sebarang acara.

“Kes ini buat saya susah nak percaya dengan orang. Selepas ini memang akan ada hitam putih untuk sebarang persetujuan walaupun dengan kawan sendiri,” ujarnya.

Pagi ini, Sufie telah memuat naik hantaran di Instagram Story yang memaparkan tangkap layar surat perintah mahkamah yang mengarahkan pihak defendan perlu membayar ganti rugi am yang ditasirkan oleh pihak mahkamah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya