JASIN: Sudah enam kali berdepan bencana banjir yang memusnahkan harta benda, seorang warga emas di Kampung Tehel, Bemban di sini memohon pihak berwajib meneliti masalah berkaitan sistem perparitan dan kelancaran aliran sungai.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik rumah, Isa Samat, 69, berkata, rumahnya yang terletak kira-kira 80 meter dari Sungai Ayer Panas sentiasa dinaiki bah setiap kali hujan lebat.
Katanya, sudah enam kali rumahnya ditenggelami banjir tahun ini dan menjangka keadaan itu berterusan sehingga musim peralihan monsun tamat.
“Saya menetap di sini selama 29 tahun dan setiap tahun juga akan berlaku banjir. Banjir besar pernah berlaku pada 1995, 2006 dan selepas itu setiap dua tahun sekali yang mana air naik sehingga paras dada.
“Justeru, saya mohon pihak berwajib meneliti masalah ini terutama berkaitan sistem perparitan dan kelancaran aliran sungai. Saya harap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 22 mangsa dari enam keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel.
Tambah Isa, dia bersama ahli keluarga tidak dapat tidur lena setiap kali musim hujan kerana perlu bersedia sekiranya paras air sungai naik mendadak.
Katanya, banjir yang berlaku menyebabkan masa, tenaga dan wang ringgit dibazirkan untuk membersihkan rumah.
“Banjir semalam menyebabkan motosikal dan mesin basuh rosak kerana ditenggelami air manakala bahagian dalam rumah dinaiki air sehingga paras buku lali. Hendak basuh rumah pun serba salah kerana bimbang banjir berlaku lagi,” katanya. –UTUSAN