Subsidi telur wajar dihenti, bekalan pulih

Subsidi telur wajar dihenti, bekalan pulih

MOHAMAD Sabu ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan KPKM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menamatkan subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya melihat harga ayam stabil selepas penamatan subsidi baru-baru ini dan diharapkan perkara sama akan berlaku dengan penarikan subsidi tiga gred telur itu.

“Jika subsidi telur itu ditarik, kerajaan akan jimat antara RM100 juta sebulan sama seperti penjimatan bagi penarikan subsidi ayam,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan KPKM di sini, hari ini.

Mohamad dalam ucapannya berkata, pemberian subsidi itu wajar ditamatkan sekiranya bekalan telur tersebut telah kembali pulih dan stabil di pasaran tempatan.

Beliau berkata, penjimatan itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan yang lain, yang lebih mendesak.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras tuan-tuan dan puan-puan semua, hari ini kita tidak lagi mendengar keluhan rakyat tentang ketiadaan bekalan ayam dan telur ayam di pasaran.

“Walaupun kita telah melaksanakan penamatan subsidi ayam pada 1 November 2023, hasilnya bekalan dan juga harga ayam semakin stabil sehingga ke hari ini. Kini, penternak ayam pula yang mengeluh kepada saya kerana harga ayam terlalu murah,” katanya.

Katanya, baru-baru ini, beliau berkesempatan menemui rakan sejawat di Brazil dan Peru bagi mempelajari aktiviti dan industri pertanian di negara itu.

Jelasnya lagi, Brazil mendedahkan mereka berjaya dalam pertanian disebabkan tiga faktor antaranya memiliki tanah pertanian yang luas dan penarikan subsidi bagi sektor berkenaan.

“Boleh saya cakap begitu di Malaysia. Lain padang lain belalang. Itu di Brazil dan kita di sini masih lagi memerlukan subsidi berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa 16 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya