SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan penyasaran semula subsidi bagi kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sekiranya Kabinet memutuskan demikian.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang bukan dalam golongan B40, M40 atau sebenarnya mampu menghantar anak untuk sambung pengajian perlu mempunyai kesedaran sama ada layak atau tidak menerima subsidi pendidikan tinggi.
“Termasuklah kalau kita tengok di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan saya fikir itu yang disebutkan sebagai prinsip-prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab moral bagi golongan berada.
“Yang sewajarnya mereka sendiri perlu ada mekanisme (kesedaran) dalaman diri iaitu untuk mereka tahu jika anak-anak mahu belajar dan dia tahu sewajarnya anaknya tidak perlu mendapat keistimewaan subsidi yang disediakan oleh kerajaan. Jadi itu yang disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 dan Sambutan Hari Akademia, hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi kepada golongan kaya dalam sektor pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini agar pemberian subsidi itu hanya untuk golongan miskin dan benar-benar layak.
Dalam pada itu, Zambry menjelaskan pemberian subsidi secara menyeluruh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi yang sepatutnya diberikan kepada golongan berhak menerimanya terutama B40 dan sebahagian M40.
“Perdana Menteri memberikan pandangan itu memandangkan bagaimana subsidi selama ini dibuat secara pukal begitu sahaja termasuk mereka yang mendapat privilege yang sama keistimewaan yang sama. Daripada dasar yang ada iaitu golongan T20, malah ada yang dikatakan T2 pun ada.
“Maksudnya golongan yang kecil itu terdiri daripada gulungan kaya raya yang mendapat subsidi termasuk subsidi pendidikan yang diberikan oleh kerajaan. Termasuklah kalau kita ambil contoh UITM dan saya fikir itu yang disebutkan sebagai prinsip-prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab moral bagi golongan berada,” jelasnya. – UTUSAN