Subkontraktor didenda RM5,000 tipu baiki kuarters polis marin

Subkontraktor didenda RM5,000 tipu baiki kuarters polis marin

MOHD. Farid Wajdi Harun (dua kanan) didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang subkontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Farid Wajdi Harun, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai subkontraktor kepada syarikat Lembah Dimensi Enterprise didakwa secara tidak jujur menipu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintenden Zailani Mohd. Yusoff.

Tertuduh didakwa memperdayakannya untuk mempercayai bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama PPM Langkawi telah siap dijalankan, sedangkan dua unit ‘hook’ besi ikat anjing dan 19 unit paip air dan hose yang berjumlah RM2,260 tidak dipasang.

Dia dituduh dengan curangnya mendorong mangsa menurunkan tandatangan pada invois syarikat tersebut bertarikh 13 Oktober 2020 bagi pengesahan siap kerja untuk tujuan pembayaran.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 Oktober 2020 di IPK Kedah, di sini.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan dia perlu menyara empat orang anak serta kedua-dua ibu bapanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya