DUNGUN” “Saya seikhlas hati dan dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada semua ahli keluarga mangsa dan semua pihak atas apa yang berlaku. Seboleh-bolehnya saya mahu bersujud kepada semua untuk meminta maaf bagi pihak isteri saya.”
Demikian luahan suami kepada wanita yang merempuh dua buah motosikal yang dinaiki empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, pada Rabu hingga menyebabkan kematian tiga mangsa.
Beliau berkata, hatinya meronta mahu bertemu dengan keluarga mangsa untuk memohon maaf bagi pihak isterinya sejurus kejadian, namun dia dinasihatkan oleh rakan-rakannya serta pihak polis untuk menunggu sehingga keadaan reda.
“Pagi semalam, saya sekali lagi mahu ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bertemu keluarga, namun rakan-rakan serta pihak polis nasihatkan saya supaya tangguhkan dahulu kerana bimbang akan mencetuskan situasi tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Insiden yang berlaku di hadapan kampus UiTM pada pukul 7.35 malam itu mengorbankan tiga penuntut iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun serta Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Dungun.
Menceritakan semula kejadian, bapa kepada tiga anak dan memiliki empat orang cucu itu berkata, dia hanya menyedari isterinya keluar dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV selepas mendapati pintu pagar kediamannya terbuka sejurus selesai solat Maghrib.
“Sebelum kejadian, saya dan anak lelaki baru sahaja masuk ke bilik masing-masing untuk menunaikan solat Maghrib, sementara isteri saya sedang berada di ruang tamu menonton televisyen.
“Selepas selesai solat, saya keluar dari bilik dan mendapati isteri saya tiada. Saya juga lihat kereta saya tiada di ruang parkir dan pintu pagar juga terbuka luas. Sebenarnya saya dah sorok kunci kereta, tak tahu macam mana isteri boleh jumpa juga,” katanya.
Azhar yang bekerja kontraktor pendawaian elektrik berkata, ketika dia sedang bersiap-siap untuk mencari isterinya, dia dihubungi rakannya yang melihat kenderaannya terlibat dalam kemalangan.
“Saya dan anak bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira dua kilometer dari rumah. Remuk hati saya melihat keempat-empat remaja lelaki itu bergelimpangan,” katanya.
Menurut Azhar, dia kesal atas apa yang berlaku dan merasakan sesuatu yang tidak kena pada isterinya pada malam tersebut.
“Saya rasa mungkin isteri saya mendengar bisikan sesuatu kerana selepas saya memeriksa kereta, saya dapati dia turut membawa dua pasang kasut dan beberapa helai baju,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum ini isterinya normal, namun selepas dia koma selama empat hari setelah kandungannya yang keempat terpaksa digugurkan kerana mengandung di luar rahim pada 10 tahun lalu.
“Saya sudah membawa isteri untuk menerima rawatan di hospital dan secara tradisional, namun tiada sebarang perubahan,” katanya. – UTUSAN