Suami isteri ditahan buat tuntutan palsu bekalan diesel RM650,000

Suami isteri ditahan buat tuntutan palsu bekalan diesel RM650,000

SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri ditahan kerana terlibat dalam tuntutan palsu membekalkan diesel kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) berjumlah lebih RM650,000.

Pasangan berusia 50-an dan 60-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kira-kira pukul 10.55 pagi, semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah, hari ini.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai telah membuat kira-kira 15 tuntutan palsu sekitar 2013 membabitkan kontrak pembekalan minyak diesel bagi kegunaan set janakuasa elektrik yang diperoleh oleh syarikat tempat mereka bekerja.

“Namun bekalan minyak yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Khamis.

Dalam kes berasingan, SPRM Sabah turut menahan seorang pesara kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000 untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah di daerah Tawau.

Menurut sumber, suspek berusia 60-an, ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM cawangan Tawau, hari ini.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah seluas 12 ekar yang terletak di daerah Tawau,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok (Rabu) bagi proses pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya